Malaysia Dateline

Hadi Najib kerjasama 2

PH buktikan Najib dan Hadi bukan orang Melayu

Pada,5 Mac 2019, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan telah mengesahkan bahawa UMNO dan PAS merupakan pasangan suami isteri yang sah. Sudah tentu penyatuan dua parti Melayu terbesar ini akan melahirkan respon yang berbeza dalam kalangan rakyat Malaysia.

Bagi penyokong Umno dan Pas, mungkin sebahagian besar sudah mula menerima antara satu sama lain, kerana mereka berkongsi tujuan yang sama iaitu meranapkan kerajaan PH yang diketuai Tun Mahathir, tetapi menyokong Tun Mahathir. Nampak macam pelik tapi ini lah pendirian mereka.

Bagi penyokong dan pimpinan PH pula, sudah tentu mereka merasakan gabungan ini sesuatu yang melucukan kerana dulu Pas dan Umno berperang bagai nak rak, akhirnya dengan sekali lafaz, terus bernikah. Lebih lucu apabila pimpinan PH sendiri merasakan ini lucu sedangkan mereka sendiri bersama Tun Mahathir, “Bapa Perosak Negara” di mata pimpinan dan penyokong PH. Tapi inilah politik.

Walau lucu bagaimana pun, gabungan PAS-UMNO ini bukan boleh ditertawakan. Dalam PRU ke-15, andai kata Pas-Umno masih bersama dan tidak berebut kerusi, penyatuan ini sudah pasti mampu menggoyahkan kekuatan PH. Terdapat sekurang-kurangnya 29 kerusi Parlimen PH yang bakal tumbang jika pengundi Pas-Umno setuju untuk mengekalkan sokongan pada gabungan ini. Jelas, jika PH gagal mendapatkan sokongan pengundi Melayu, maka mereka mungkin akan tewas dalam PRU ke-15.

Bagaimana PH ingin dapatkan sokongan Melayu?

Fokus pada 3 perkara utama – kebebasan demokrasi, hapuskan rasuah, kurangkan kesengsaraan sara hidup.

Kebebasan demokrasi – Bagi mereka yang menyanjung tinggi dan menghargai demokrasi, sudah pasti dapat lihat dengan jelas bahawa ruang demokrasi di Malaysia sudah semakin terbuka sejak hari pertama PH ambil alih kerajaan. Siapa hari ini yang takut untuk bicara? Pembangkang? Tidak. Tiada siapa. Siapa hari ini yang tak dibenarkan keluar TV atau digam? Tiada siapa. Siapa hari ini yang tak dibenarkan masuk universiti dan sekolah? Tiada siapa. Kebebasan ini tidak berlaku di zaman BN, tapi berlaku di zaman PH hinggakan ada penyokong PH yang merasakan bahawa lebih baik PH kembalikan sekatan pada pembangkang seperti yang BN lakukan, tapi PH masih setia dengan prinsip.

Hapuskan rasuah – Hari ini, walaupun kebebasan bersuara diberikan kepada semua, kes rasuah yang melibatkan pimpinan PH cukup sayup. Zaman BN dahulu, pasti wujud ketirisan melampau dan salahguna kuasa. Ini belum berlaku dan harap tidak berlaku di zaman PH. Tetapi malangnya, apabila bercakap soal rasuah, kita tidak boleh lari dari integriti. Hari ini, masih ada pimpinan PH yang menipu sijil akademik mereka dan mereka ini masih boleh berkhidmat sebagai menteri di dalam kabinet. Ini memalukan. Maknanya, usaha mengangkat integriti masih belum diselesaikan dengan baik oleh PH.

Isu sara hidup – Selepas PH menang, rakyat kebanyakan merasakan bahawa PH mampu mengurangkan beban sara hidup mereka. Tol dimansuhkan, PTPTN dihapuskan, harga minyak diturunkan, harga barang turun, tetapi malangnya, semua ini tidak berlaku, malah BR1M yang ditukar nama kepada BSH pula yang diturunkan. Cakaplah apa pun, PH telah gagal menyelesaikan isu ini dan tidak nampak langsung niat PH untuk cuba membantu rakyat dalam isu ini.

Menjawab persoalan tadi, bagaimana caranya untuk PH menang hati rakyat Melayu? Jawapannya mudah, selesaikan isu integriti dan masalah sara hidup rakyat. Jika masalah sara hidup rakyat Malaysia dikurangkan, bukan sahaja Melayu, malah India, Cina, Iban dan lain-lain juga akan turut menyokong PH dan endahkan Umno-Pas kerana hidup mereka mulai sedikit senang. Ini sahaja caranya, alihkan isu kaum dan fokus isu sara hidup.

Tapi kalau PH ingin terus bermain politik serang dan melayan politik perkauman, PH silap besar, kerana penyokong Pas-Umno akan beri jawapan yang sama iaitu demi gabungan umat dan kaum.

PH dedah isu 1MDB? Tak peduli, yang penting Melayu bergabung.

Nik Abduh tak cam suara sendiri? Tak peduli, yang penting Melayu bergabung.

Abdul Hadi bayar Clare? Tak peduli, yang penting Melayu bergabung.

Ada bukti cek? Tak peduli, yang penting Melayu bergabung.

Takut nanti, makin dilayan, dan peluru PH dah mula nak habis, tiba-tiba PH “dedahkan” Najib dan Hadi bukannya orang Melayu pula hanya kerana PH ingin menjadi lebih melayu dari Umno-Pas.

Penulis merupakan Eksekutif Komunikasi dan Perhubungan syarikat GLC dan penulis buku “Sudahlah Politikus”