PH cadang bantuan Pemulih isi rumah ditingkatkan kepada RM2,500

Oleh NASUHA RAHMAN

Pakatan Harapan mencadangkan jumlah bantuan melalui pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) ditingkatkan melalui peruntukan minum sebanyak RM5 bilion untuk isi rumah.

Dalam pembentangan Belanjawan 2022 hari ini, Pakatan Harapan mencadangkan bantuan isi rumah miskin tegar dinaikkan kepada RM2,500, B40 kepada RM1,900 dan M40 RM1,100.

Sebelum ini, miskin tegar menerima bantuan Pemulih sebanyak RM1,300, B40 RM800 dan M40 RM250.

Katanya, menggandakan bantuan kebajikan bulanan untuk menjamin kelangsungan hidup isi rumah yang terkesan selama setahun.

“Cadangan ini turut mengambil kira kesukaran yang dihadapi oleh keluarga-keluarga M40 (termasuklah golongan kelas pertengahan yang tidak termasuk dalam takrifan M40),” katanya dalam laporan pembentangan yang diedarkan hari ini.

Katanya, kerajaan perlu mengamalkan prinsip pengagihan saksama kepada ketua isi rumah wanita di mana ketua isi rumah wanita di Malaysia dilaporkan mempunyai pendapatan 40% kurang berbanding purata isi rumah di Malaysia.

“Sehingga Mac 2021, pendapatan median isi rumah adalah sebanyak RM 2,117, manakala pendapatan median ketua isi rumah wanita hanyalah RM1,300.

“Kekurangan akses kepada pendidikan menyebabkan kebanyakan ketua isi rumah wanita disisihkan.

“Usaha harus digiatkan untuk membantu golongan ini,” katanya.

Sehubungan itu, jelas Pakatan Harapan jumlah bantuan tunai perlu mengambil kira bilangan kanak-kanak di bawah tanggungan.

Justeru, Pakatan Harapan mencadangkan agar kerajaan memberi bantuan bulanan berjumlah RM100 untuk setiap anak bawah 12 tahun yang tergolong dalam kumpulan isi rumah B40 dan M40.

“Cadangan ini akan meringankan beban ibu bapa baru yang turut terkesan dengan pandemik terutamanya dengan penutupan pusat asuhan dan sekolah.

“Cadangan ini akan menjadikan program bantuan tunai adalah responsif dan bersesuaian dengan saiz keluarga,” katanya.