Malaysia Dateline

PH cadang hadkan pembelian barangan keperluan asas

Ekoran gelombang pembelian panik yang semakin membimbangkan, kerajaan wajar mempertimbangkan untuk melakukan mengehadkan pembelian barang keperluan asas di pasaraya.

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan dalam satu kenyataannya hari ini berkata, ianya wajar sebagai langkah menjamin kuantiti bekalan makanan adalah mencukupi bagi semua pembeli yang memerlukan.

“Pakatan Harapan (PH) faham akan kegusaran dan keresahan di kalangan rakyat Malaysia pada ketika ini, lebih-lebih lagi dalam suasana pelaksanaan perintah kawalan pergerakan yang baru dimulakan ini.

“Justeru, PH berpandangan bahawa dalam keadaan sekarang ini, had pembelian sesuatu barangan boleh dikuatkuasa dengan cara ketika kempen jualan murah yang mengehadkan pembelian sesuatu produk.

“Kerajaan juga boleh menguatkuasakan had pembelian dengan kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Sehingga hari ini, isu pembelian panik masih menjadi kebimbangan utama apabila orang ramai dikatakan mengambil langkah berjaga-jaga dengan membeli barangan makanan secara pukal kerana bimbang penularan wabak Covid-19.

Malah, ada yang khuatir apabila melihat deretan rak di pasaraya mulai kosong dan mengambil keputusan berdegil menyertai pembelian panik biarpun kerajaan mengumumkan jaminan bekalan yang mencukupi.

Sehubungan itu, PH menggesa Kerajaan Persekutuan untuk tidak berlengah dan segera melaksana had pembelian barangan keperluan asas, demi menjamin keselamatan makanan bagi semua penduduk terutama pada waktu KPK ini.