Malaysia Dateline

PH cadang penerima BSH diberi RM1,000 sebulan pada Mac, April

Dalam suasana meruncing dan begitu mencabar di saat ini, sebagai langkah pertama membantu rakyat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) mencadangkan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) diberikan peruntukan kecemasan RM1,000 untuk bulan Mac dan RM1,000 untuk bulan April nanti.

Menurutnya, cara ini adalah pendekatan yang paling cepat untuk membantu mereka yang paling terkesan akibat PKP yang dilaksanakan bagi menbendung penularan wabak COVID-19.

“Kos yang perlu ditanggung oleh kerajaan sebanyak RM8.2 bilion,” ujar kenyataan bersama Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad, Setiausaha Agong PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Setiausaha Organisasi DAP Loke Siew Fook.

Hari ini Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenarkan mengeluarkan simpanan dari akaun 2 sebanyak RM500 sebulan selama 12 bulan.

Bagi PH, mereka yang dibenarkan mengeluar simpanan KWSP diambil dari simpanan sendiri harus menyedari bahawa sebenarnya ini bukan bantuan tetapi adalah simpanan hari tua hasil tabungan sendiri.

“Bagi kebanyakkan rakyat, seperti ‘peniaga-peniaga kecil terpaksa tutup kedai, pemandu teksi dan grab kehilangan pelanggan, pekerja bergaji harian tidak menerima gaji, sebenarnya tiada apa bantuan yang jelas telah diperuntukan kepada mereka dalam pengumuman ini,” ujarnya.

Justeru, PH menerima baik kenyataan Muhyiddin untuk menangani cabaran terkini tanpa mengira fahaman politik seperti peruntukan untuk kerajaan-kerajaan negeri tanpa mengira parti adalah dialu-alukan.

Misalnya, kerajaan negeri selangor telah memperuntukan RM30,000 dan kerajaan negeri Johor RM20,000 kepada Adun negeri masing-masing tanpa mengira parti untuk tujuan mitigasi COVID-19.

“Kami mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan memperuntukan peruntukan kawasan parlimen tanpa mengira parti supaya rakyat dapat beroleh manfaat daripada Ahli Dewan Rakyat yang mereka pilih secara demokratik,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq mengesahkan parlimennya tidak disenaraikan menerima peruntukan tahunan oleh Jabatan Perdana Menteri begitu dilaporkan Parlimen Langkawi iaitu wakil rakyatnya Tun Mahathir juga dinafikan dalam pemberian peruntukan tersebut.