Malaysia Dateline

PH cadang tubuh Tabung Pinjaman Agrofood RM5 bilion untuk petani, penternak, nelayan

Jawatankuasa Pertanian dan Keselamatan Makanan Pakatan Harapan mencadangkan kerajaan menyediakan Tabung Pinjaman Agrofood sebanyak RM5 Bilion kepada petani, penternak dan nelayan.

Dengan kemudahan pinjaman ini, bagi Pakatan Harapan golongan ini dapat menaikkan kapasiti produktiviti hasil tanaman atau ternakan mereka dan menggunakan teknologi moden bagi mengurangkan kos pengeluaran.

Dalam sidang media di Parlimen hari ini, Pakatan Harapan yang diwakili Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kerajaan harus membantu penternak-penternak beralih kepada cara sistem ‘close house’ dan menggunakan teknologi penternakan yang lebih moden.

“Sistem close house dan IOT akan dapat menyaksikan peningkatan produktiviti dan mengurangkan kos pengeluaran ayam,” kata beliau.

Selain itu, kerajaan harus menangani juga punca kenaikan harga makanan seperti sayur, ikan dan buah-buahan yang turut naik akibat kapasiti petani dan penternak yang rendah lantaran tidak meningkatkan penggunaan teknologi dalam proses tanaman dan penternakan mereka.

Malangnya, katanya ketika harga ayam naik melebih RM10 sekilogram kerajaan tidak menunjukkan komitmen untuk mengawal harga ayam dan barang-barang keperluan lain.

“Cadangan subsidi yang sedang dikaji MoF hanyalah sekadar penyelesaian jangka pendek.

“Kami ingin mencadangkan kepada kerajaan penyelesaian jangka panjang melalui usaha pemodenan industri penternakan ayam.

“Kenaikan harga amnya berpunca daripada ketidakseimbangan permintaan tinggi dan pengeluaran yang terhad dan kos pengeluaran tidak kompetitif.

“Harga ayam melambung naik apabila harga makanan ayam naik, faktor cuaca dan penternak kecil yang tidak mampu menanggung kos terpaksa gulung tikar,” katanya.