PH cuba bertahan, Pas tunjuk garang

PH cuba bertahan, Pas tunjuk garang

Persekitaran jalan utama di Parlimen Tanjung Piai pada hari penamaan calon dan keesokannya meriah dengan kibaran bendera Pakatan Harapan (PH).

Namun, pemerhatian saya bersama jurugambar, Syafiq Iskandar mengitari kerusi Dun Kukup, bendera PH belum meluas menjengah ke muka lorong kawasan perkampungan dengan pelbagai nama parit itu.

PH nampaknya agak segan bertandang di kawasan kampung termasuk muncul di tempat lebih strategik. Berbeza dengan ‘perang bendera’ pihak lawan walaupun tidak sebanyak dan menonjol bendera PH di jalan-jalan utama tetapi kemunculan ‘dacing’ di jalan kecil dan lorong kampung agak menonjol.

Di Lorong Parit Mesjid Kampung Rimba Terjun misalnya, terpacak solo bendera BN tanpa ‘dijerkah’ bendera PH. Bangun pagi pada hari penamaan calon selepas bermalam di rumah ibu saudara kepada rakan sekerja saya di Parit Dukacita, juga tidak terasa sudah tiba musim pilihan raya.

Sepanjang jalan lurus di kawasan kampung itu tiada lagi bendera PH berkibar. Baru hari penamaan calon, getus hati saya walaupun teringat kembali perbualan ibu saudara rakan sekerja saya itu pada sebelah malamnya tentang acara bacaan Yasin sekampung mendoakan kemenangan BN dalam setiap kali musim pilihan raya umum.

Kelihatan Pas yang tidak bertanding pun tetapi secara rasmi menyokong calon BN dari MCA memacakkan benderanya di papan tanda jalan masuk kampung.

Agak lucu tetapi isyarat kepada jentera PH agar menambah baik keberkesanan kempen apabila terpandang bendera Pas diikat kemas pada tiang di Lorong Uda di Kampung Serkat – kampung kelahiran Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Salahuddin Ayub yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Walaupun tidak bertanding, Pas dilihat garang memacak bendera di kedudukan strategik.

Papan tanda berwarna kuning dan hitam lengkap bertulisan jawi di atas itu tertera “MPPK Serkat Kaw. 4” yang merujuk kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung.

Dalam hati saya berkata, tegar sungguh hati penyokong Pas memacakkan benderanya di tiang yang merupakan hasil inisiatif kerajaan Persekutuan dengan sejumlah peruntukan kepada MPPK selepas menggantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Tentang keterujaan Pas sanggup menjadi khadam MCA (mengolah semula gelaran ‘khadam DAP’ yang dilempar Pas kepada AMANAH sebelum ini), saya dan Syafiq tersenyum sinis apabila melihatkan sekumpulan penyokong Pas lelaki dan perempuan berusia sekitar 50-an sekitar jam 7.30 pagi pada pagi hari penamaan calon.

Kami yang ketika itu dalam kereta sedang mencari ruang parkir menuju ke Dewan Jubli Intan Pontian dengan membelok memasuki lorong belakang terserempak dengan mereka yang seperti terpinga-pinga dan berjalan mundar-mandir di kaki lima deretan kedai Cina.

Selepas mendapat lokasi parkir yang agak teduh, sambil menapak menuju ke deretan gerai di tepi laut, kami disambut lori muatan kecil yang digubah dengan dindingnya tertera lambang Umno dan Pas terikat bersama atas nama Muafakat Nasional.

Ungkapan di bawahnya agak panjang lagi bernada garang: “Kerajaan PH dikuasai oleh DAP. Mudharat besar jika dibiarkan DAP memerintah negara. Ayuh sokong penyatuan ummah. Anda mampu mengubahnya” dengan diakhiri ayat bersaiz lebih besar berbunyi, “Islam memimpin perpaduan.”

Kembali kepada kibaran bendera PH, kawasan pengundi Cina pun seolah-olah terkesan situasi sama. Menuju ke Kampung Kukup Laut pada 3 November lepas, sepanduk berlogo BN wajah calonnya, Wee Jeck Seng jauh lebih menonjol menyambut kedatangan kami.

Selepas kira-kira 200 meter, terpampang pula gegantung bersaiz besar yang hanya bertulisan Cina berserta gambar antaranya, simbol pusingan U, naik turun saham, muncung nozzle pam minyak serta imej yang disunting berupa kereta bersayap terbang.

Sekali lagi, tiada bendera PH apatah lagi wajah calon PH, Karmaine Sardini berdekatan lokasi menuju ke Terminal Feri Antarabangsa Kukup itu.

Memandangkan P.165 Tanjung Piai boleh dianggap sebagai kerusi marginal apabila jumlah pengundi Melayu dan Cina hampir seimbang, PH nampaknya berdepan cabaran yang bukannya mudah termasuk memujuk pengundi Cina di luar kawasan untuk pulang mengundi ketika Gerakan, Berjasa dan dua calon Bebas bertindak sebagai pemecah undi.

Ketika PRK Tanjung Piai menonjolkan sifat Pas sebagai ‘khadam MCA’, PH juga berdepan rasa tidak puas hati masyarakat Cina lebih-lebih lagi kehadiran Tun Dr Mahathir dalam Kongres Maruah Melayu memberi ucaptama selain keadaan ekonomi semasa yang belum memuaskan hati golongan peniaga.

Sejauh mana, corak kempen MCA termasuk kemungkinan memainkan sentimen kaum Cina dan protes di peringkat nasional akan diterjemah oleh 22,000 pengundi Tionghoa iaitu 42 peratus daripada keseluruhan pengundi akan diketahui pada 16 November ini.

Kempen BN dilihat lebih menonjol di kawasan pengundi Cina sejurus hari penamaan calon.

*Artikel ini disiar pertama kali di akhbar Mingguan Amanah, Bil 176, 10-16 November 2019.