Malaysia Dateline

PH cukup sokongan, bakal ambil alih Putrajaya Julai ini

Pakatan Harapan (PH) ketika ini dikatakan sudah memiliki jumlah sokongan yang cukup untuk membentuk kerajaan baru menggantikan Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presiden AMANAH Nasional, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, PH mempunyai peluang cerah menduduki semula Putrajaya dengan jumlah sokongan tersebut.

“Kita membincangkan beberapa agenda mengenai perjalanan ke Putrajaya, kita masih mempunyai peluang cerah untuk kembali ke Putrajaya.

“Kita sudah mempunyai jumlah (sokongan). Saya rasa kita hanya akan memaklumkan keadaan ini kepada Yang di-Pertuan Agong. Saya rasa kita boleh melakukannya,” katanya seperti dipetik portal Malaysiakini.

Salahuddin berkata demikian selepas Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat PH di Petaling Jaya petang semalam.

Salahuddin juga memberi gambaran bahawa tampuk pemerintahan bakal dirampas semula daripada kerajaan PN sebelum persidangan Parlimen iaitu Julai ini.

“(Kita boleh) tunggu hingga Parlimen bermula pada Julai atau kita boleh lakukannya sebelum tempoh tersebut.

“Saya rasa (mengambil alih kerajaan) di luar parlimen juga tidak mengapa, tidak bertentangan dengan Perlembagaan,” kata Salahuddin.

Spekulasi tersebar luas bahawa Pakatan Harapan bersama Dr Mahathir Mohamad, dan Warisan didakwa telah memperoleh 129 anggota parlimen di pihak mereka untuk merampas semula Putrajaya dari Perikatan Nasional.

Namun ketika ditanya tentang jumlah tersebut, Salahuddin berkata itu hanyalah ‘khabar angin’.

Katanya, beliau merupakan seorang yang praktikal dan merasakan PH perlu menentukan jumlah yang mereka ada sekarang dan bagaimana untuk terus ke hadapan.

Ketika ditanya adakah ia bermakna mereka akan bertemu dengan Agong tidak lama lagi, Salahuddin tidak memberikan jawapan yang jelas.

“Tunggu dan lihat, okey. Kita memerlukan masa,” katanya.