Malaysia Dateline

PH dan sekutu perlu bersatu hadapi polisi ‘khianat, rompak, jual agama’

Pembangkang perlu bersatu sebagai penyemak dan pengimbang kepada pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang yang dilihat mengamalkan dasar ‘khianat, rompak dan jual agama’.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad berpendapat pembangkang berhadapan dengan tiga unsur negatif terbabit di sebalik penyatuan Bersatu, Umno dan Pas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Perak.

“Keputusan (PRK DUN) Slim menunjukkan kerjasama ‘Bersatu-Umno-Pas’ amat berpotensi menguasai politik negara.

“Kesatuan atas dasar ‘khianat, rompak dan jual agama’ kali pertama dihadapi dan untuk menghadapinya kita juga perlu bersatu,” tegasnya dalam ciapan di Twitter beliau hari ini.

Untuk rekod, blok pembangkang pada masa ini terdiri daripada Pakatan Harapan (PH), Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Sehubungan itu, Khalid menyeru agar pembangkang mengambil perhatian serius berhubung penyatuan blok oposisi dalam menentang penguasaan Bersatu-Umno-Pas.

“Jangan dipandang remeh dan peranan setiap pihak diperlukan,” kata Ahli Parlimen Shah Alam tersebut.

Beliau turut mengulas dakwaan pihak tertentu kononnya kekalahan calon Bebas, Amir Khusyairi Tanusi, 38, yang mewakili Pejuang sebagai bukti penolakan rakyat serta hilangnya daya tarikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Sebenarnya ia membuktikan pembangkang perlu bersatu dan usaha menunjukkan kelemahan sesama sendiri hanya menguntungkan PN.

“Tiada yang boleh bersendirian. Rapatkan saf seperti semasa PRU-14,” ujar bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu lagi.