Malaysia Dateline

PH dan tiga Adun lompat

Anwar Ibrahim memberi isyarat tiga daripada empat Adun yang menarik sokongan kepada bekas Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali kemungkinan akan menjadi calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti.

Memetik laporan Anwar berkata mereka, Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Idris Haron (Sungai Udang) dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) tidak terlibat dengan peristiwa langkah Sheraton menjatuhkan kerajaan PH lalu.

Walaupun Presiden PKR itu tidak menyebut secara terus terang tetapi dari bahasa badan dapat diagak yang Anwar tidak mahu mengkesampingkan tiga Adun itu. Mungkin dalam bacaanya ketiga-tiga Adun itu dapat menyumbang untuk kejayaan PH dalam pilihan raya itu.

Sebelum ini ada bantahan daripada mengambil ketiga-tiga mereka itu bertanding atas tiket PH. Apa dibimbangi tindakan mereka itu memberi kesan buruk kepada PH.

Namun, sesuatu yang perlu difikir juga kalau mereka diterima menjadi calon PH, mungkin terpaksa atau strategi setelah menyedari PH sukar untuk mendapat kerusi walaupun majoriti mudah untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya itu kelak.

Cuma kalau ketiga-tiga mereka itu hendak dimanfaat juga biarlah mereka kekal bertanding dalam kawasan mereka dan jangan dipindah ke kerusi lain.

Dan yang patut juga difikirkan, apakah setelah mereka menang nanti, mereka tidak akan lompat lagi, kerana kalau sudah tahu melompat ia akan terus melompat.