Malaysia Dateline

PH dapat sokongan besar jika PN terus bergolak

Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad mengakui sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) semakin meningkat selepas tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sering menimbulkan kemarahan rakyat, ditambah dengan perbalahan terbuka antara parti komponennya.

Beliau berkata, sekiranya pergolakan dalaman PN berterusan, tidak mustahil PH mampu memperoleh sokongan yang lebih besar berbanding sewaktu Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Menurutnya, kajian oleh beberapa penyelidik bebas sebelum ini merekodkan peratusan yang paling minimum untuk PH ialah di tahap 40 peratus, manakala Barisan Nasional (BN) 25 peratus dan Pas pula tidak lebih dari 10 peratus.

“Kalau keadaan ini berterusan, PH akan dapat sokongan yang jauh lebih besar berbanding dari PRU-14.

“Kalau mereka tak pandai menguruskan pergolakan bersama, mereka akan terus bergaduh antara BN, Pas, Umno dan Bersatu ( dan menyebabkan sokongan merosot).

“Dalam pilihanraya akan datang nanti Umno jangan cuba cuci tangan kerana kamu pun punca semua itu,” katanya dalam satu siaran langsung di Facebook Jom Channel semalam.

Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, apabila PN memerintah, suasana politik negara bertukar lebih teruk berbanding zaman pentadbiran PH.

Walau hakikatnya beberapa pihak cuba untuk tidak menyalahkan Umno atas segala tindakan yang dilakukan oleh PN hari ini, namun Khalid menegaskan bahawa Muhyiddin tidak boleh membentuk kerajaan tanpa sokongan parti Melayu itu.

Justeru katanya, segala perbuatan PN secara tidak langsung akan terpalit kepada Umno dan parti itu tidak boleh ‘cuci tangan’ mahu menyalahkan PN.

“Umno-BN mahu tak mahu orang tetap nampak kamu bersama dengan PN. Jadi jangan kata nak cuci tangan.

“Walaupun kamu kata tak setuju pada banyak perkara termasuk isu darurat, hakikatnya kamu di sana (di pihak PN). Kamu boleh menghalangnya tapi kenapa tak buat begitu.

“Ini menyebabkan rakyat berfikir, maknanya dulu di bawah PH adalah lebih baik. Atas sebab itu kita lihat kajian dilakukan beberapa syarikat, mereka letakkan paling minimum PH itu dekat 40 peratus,” katanya lagi.