Malaysia Dateline

PH desak Hamzah siasat dakwaan kartel polis

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin segera menyiasat berhubung kewujudan kartel di dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) seperti yang didakwa Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

PH berkata, elemen-elemen ‘kartel’ ini tidak boleh dibenarkan menyusup masuk dan mengawal PDRM, kerana akhirnya ia akan menghancurkan institusi tersebut.

“Kenyataan (Abdul Hamid) amat membimbangkan kerana seakan wujudnya usaha pihak-pihak tertentu untuk menjejaskan kebebasan dan integriti PDRM.

“Ini secara langsung akan mendatangkan kesan buruk terhadap imej, reputasi dan kewibawaan PDRM itu sendiri,” tegasnya dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat bersama dengan AMANAH, Datuk Dr Hatta Ramli; PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution; dan DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Pada 18 Mac lalu, Abdul Hamid mendakwa wujudnya kumpulan pegawai muda di dalam PDRM yang berhasrat untuk menjatuhkannya dengan tujuan menguasai pasukan keselamatan dan meneruskan kerja-kerja kotor mereka.

Pendedahan tersebut mendapat perhatian ramai pihak yang kemudiannya menggesa Abdul Hamid menggerakkan siasatan penuh terhadap kartel di dalam badan pencegahan jenayah itu.

Abdul Hamid telah berkhidmat secara kontrak sebagai Ketua Polis Negara bermula 4 Mei 2019 dan dijangka bersara pada 3 Mei 2021.