Malaysia Dateline

PH desak KPT semak semula lebih 13 lantikan politik di universiti

Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan mendesak agar Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyemak semula pelantikan wakil-wakil parti politik Umno, Pas dan Bersatu sebagai lembaga pengarah di Universiti-Universiti Awam.

PH berkata, menerusi tinjauan jawatankuasa itu, sebenarnya terdapat lebih dari 13 lantikan politik di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan KPT yang dilantik dalam kalangan anggota politik Perikatan Nasional (PN).

Dakwanya, di sesetengah IPTA, kebanyakan jawatan di dalam Lembaga Pengarah Universiti (LPU) diisi oleh wakil-wakil Umno tanpa kelayakan yang sepatutnya.

“Situasi ini menjawab mengapa KPT tidak bersikap progresif dan inovatif di dalam pembangunan solusi di peringkat pendidikan tinggi di kala menghadapi wabak Covid-19, selain keadaan pengurusan IPTA menjadi serba caca merba.

“Jawatankuasa juga berasa hairan mengapakah pelantikan di LPU IPT dalam kalangan tokoh-tokoh akademik, korporat, profesional dan mereka yang telah berjaya di persada antarabangsa seperti di zaman PH dahulu tidak diteruskan

“Ramai tokoh akademik dan korporat yang tidak berparti dan apolitikal yang dilantik di zaman PH telah digantikan dengan wakil politik PN terutamanya dari Umno yang terlalu jauh rendah kelayakan mereka berbanding tokoh-tokoh yang telah dibuang oleh YB Menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dibuat bersama Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam); AMANAH, Datuk Dr Hasan Baharom (Tampin); DAP, Teo Nie Ching (Kulai) dan Steven Sim Chee Keong (Bukit Mertajam); serta PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Natrah Ismail (Sekijang), dan Rusnah Aluai (Tangga Batu).

Terdahulu, dilaporkan sekurang-kurangnya 13 individu daripada parti komponen PN telah dilantik memegang jawatan di lembaga pengarah atau lembaga gabenor universiti awam, berdasarkan pemeriksaan di laman web universiti.

Sementara itu PH menegaskan, pengagihan jawatan di IPTA kepada wakil-wakil politik PN tanpa berdasarkan merit hanya akan menyebabkan imej dan wibawa IPTA semakin buruk sama ada di peringkat lokal mahupun antarabangsa.

Bahkan katanya, pelantikan berdasarkan keahlian politik semata-mata boleh mengganggu kemajuan universiti seperti yang berlaku sepanjang pemerintahan PN.

“KPT patut merujuk kepada buku Pelan Pembangunan Pendidikan 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) yang menggariskan keperluan melantik ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) mengikut kebolehan dan ‘skill-sets’ yang telah ditetapkan supaya mereka boleh memacu IPTA lebih berdaya maju,” katanya lagi