Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) mendesak kerajaan menyatakan pelan persekolahan pasca sekatan pergerakan (lockdown) secara telus agar para guru, ibu bapa dan murid dapat membuat persiapan awal sejak dalam cuti persekolahan lagi.
Menerusi kenyataan hari ini, jawatankuasa itu juga menggesa kerajaan menyegerakan suntikan vaksin kepada semua guru dan bukan hanya terhad kepada guru yang berusia dan berisiko sahaja seperti yang telah digesa berkali-kali sebelum ini.
Dalam masa sama, kerajaan Muhyiddin Yassin digesa memberikan insentif ‘one-off’ kepada guru yang telah dan akan menggunakan wang mereka sendiri sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membeli data dan membuat persiapan bantuan mengajar dalam talian.
Kenyataan bersama melibatkan ketiga-tiga parti PH itu juga menggesa agar pemberian kesemua 150,000 komputer riba yang telah dijanjikan kepada murid-murid dari keluarga B40 disegerakan.
“Perlu diingat kegagalan kerajaan Persekutuan terutamanya Menteri Pendidikan dan kedua-dua timbalannya di dalam memberikan respons yang pro-aktif seperti yang diperlukan oleh rakyat akan memberi kesan buruk yang mendalam kepada lebih lima juta orang pelajar generasi ini bukan sahaja untuk masa kini tetapi pada dekad-dekad yang akan datang,” kata jawatankuasa itu lagi.