Malaysia Dateline

PH desak PN hentikan peralat agensi untuk kekal berkuasa

Majlis Presiden Pakatan Harapan menyifatkan tindakan pendakwaan terhadap Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman jelas menunjukkan salah guna agensi kerajaan demi kerakusan kuasa terus berlaku.

Malah Pakatan Harapan sebelum ini pernah memberi amaran agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi-agensi lain tidak dijadikan senjata politik, terutama untuk menekan Ahli-Ahli Parlimen pembangkang untuk menyokong Perikatan Nasional.

“Namun dengan tindakan pendakwaan terkini ini jelas menunjukkan salah guna agensi demi kerakusan kuasa terus berlaku.

“Pakatan Harapan menegaskan sekali lagi bahawa agensi-agensi kerajaan tidak patut dan tidak boleh menjadi senjata politik bagi menekan atau mengugut Ahli Parlimen demi mengekalkan kedudukan dan jawatan, terutama bagi mereka yang telah hilang sokongan majoriti,” kata kenyataan Majlis Presiden itu.

Dalam kenyataan bersama Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden AMANAH Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, tindakan memperalat agensi ini telah berlaku sejak dahulu lagi, dan telah memuncak dengan pendakwaan terpilih.

“Misalnya terhadap Setiausaha Agong DAP YB Lim Guan Eng pada tahun lalu ekoran siasatan terburu-buru SPRM sebaik kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada akhir Februari 2020.

“Terkini, kita dikejutkan dengan pendakwaan terhadap YB Syed Saddiq lebih-lebih lagi kerana ia berlaku hanya beberapa hari sebelum bermulanya sidang khas Parlimen pada 26 Julai ini.

“Tambahan pula pendedahan beliau bahawa kes-kes ini dibawa ke mahkamah kerana beliau enggan menyokong Perikatan Nasional,” katanya.

Justeru, Pakatan Harapan berpandangan bahawa kes ini adalah satu tindakan pendakwaan terpilih, dan pihaknya menyatakan sokongan terhadap Syed Saddiq.