Malaysia Dateline

PH desak SPRM siasat siapa tawar habuan kepada MP pembangkang

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat siapa yang menawarkan habuan serta jawatan kepada sekurang-kurangnya tujuh Ahli Parlimen bagi memberi sokongan kepada kerajaan.

Menurut kenyataan majlis tersebut hari ini, kesemua wakil rakyat terbabit ialah Ahli Parlimen Rasah, Kota Melaka, Ipoh Barat, Kulim Bandar Baharu, Setiawangsa, Kuala Kedah dan Alor Setar.

Gusar dan mengutuk usaha kotor pihak yang memberi habuan itu, kenyataan bersama pimpinan PKR, AMANAH dan DAP tersebut menegaskan tawaran sama pernah berlaku pada sejumlah Ahli Parlimen sebelum ini.

“SPRM perlu mengambil tindakan secara serius, memandangkan kejadian-kejadian serupa pernah berlaku kepada Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang sebelum ini.

“Sekiranya SPRM gagal berbuat demikian, ini hanya membuktikan dakwaan bahawa agensi kerajaan diperalatkan sebagai senjata politik demi survival politik pihak tertentu dan bukannya mendaulatkan undang-undang,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, wujud dakwaan usaha untuk menyogok sejumlah Ahli Parlimen PH dengan puluhan juta ringgit bagi mendapatkan sokongan Perikatan Nasional (PN).

Susulan itu, Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran semalam membuat laporan polis berhubung dakwaan terdapat individu tidak dikenali cuba menyogoknya menyokong PN dengan menawarkan habuan wang tunai RM30 juta serta dilantik menteri.

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP itu menyifatkan tawaran posisi menteri, wang, peruntukan penuh kepada konstituensi Ipoh Barat dan pelbagai insentif itu sangat jelas membuktikan bahawa perbuatan ini mengandungi unsur rasuah.

Sehubungan itu, Majlis Presiden PH menegaskan sesiapa yang cuba merasuah Ahli-Ahli Parlimen pembangkang mahupun yang telah menarik sokongan terhadap Tan Sri Mahiaddin Md Yasin bukan sahaja melakukan satu kesalahan.

Bahkan, cubaan ‘membeli’ itu kata majlis tersebut juga membolehkan Perdana Menteri yang tiada keabsahan mahupun majoriti untuk kekal berkuasa sambil rakyat terus merana.

“Seperti yang umum sedia maklum, Mahiaddin telah kehilangan majoriti dan masih enggan meletakkan jawatan berdasarkan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Oleh itu, Majlis Presiden PH tersebut menegaskan bahawa Mahiaddin mesti segera meletak jawatan atau memanggil sidang khas Parlimen sekarang untuk membahas dan memutuskan usul undi percaya dalam masa terdekat.

“Jangan gunakan masa sehingga September untuk ‘membeli’ sokongan dengan pelbagai taktik yang tidak bermaruah dan menyalahi undang-undang,” menurut kenyataan itu lagi.