Malaysia Dateline

PH didepan dengan 87 kerusi, 26 kerusi masih jadi rebutan, ramal Ilham Centre

Ilham Centre meramalkan Pakatan Harapan berada di depan dalam pilihan raya umum kali ini apabila mendapat 87 kerusi parlimen atau 39.2 peratus undi namun 26 kerusi lagi masih belum dapat ditentukan akibat pertembungan sengit.

Barisan Nasional (BN) pula bakal mendapat 51 kerusi, Perikatan Nasional – PN (25), Gabungan Parti Sarawak – GPS (18), Warisan (6) Gabungan Rakyat Sabah – GRS (6), Gabungan Tanah Air – GTA (1), Parti Bangsa Malaysia – (1) dan bebas 1, kata Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Mohamad Hisomuddin Bakar dalam kenyataannya kira-kira 12 jam sebelum pengundian bermula pagi esok.

26 kerusi yang masih sengit menjadi rebutan dan belum dikenalpasti milik siapa adalah Kangar, Arau, Pokok Sena, Kulim Bandar Baharu, Ketereh, Bukit Gantang, Sungai Buloh, Temerloh, Sungai Besar, Kuala Selangor, Tampin, Ayer Hitam, Kudat, Putatan, Penampang, Sipitang, Kinabatangan, Tawau, Kalabakan, Sri Aman, Lubok Antu, Igan, Sarikei, Miri, Kimanis dan Lawas.

Jangkaan kerusi-kerusi yang bakal dimenangi oleh parti-parti yang bertanding berdasarkan kajian yang dibuat oleh Ilham Centre.

Menurut Hisomuddin, tiada gabungan parti yang boleh keluar selaku pemenang dengan garis majoriti mudah 112 kerusi.

Dengan mengambil kira kadar keluar mengundi sekitar 80 peratus, Ilham membuat prediksi di atas terhadap 222 kerusi Parliman yang dipertandingkan.