PH digesa perkasakan masyarakat berpendapatan rendah

Suasana di Pasar Datok Keramat, Kuala Lumpur.

Reformasi biasanya proses yang akan memberi implikasi kepada keabsahan institusi yang membabitkan penstrukturan semula kuasa daripada amalan kebiasaan.

Menurut Huntington apabila negara berdepan permasalahan membina semula institusi, maka pemimpin tidak seharusnya memusatkan kuasa, sebaliknya harus mengehad dan membahagikan kuasa.

Setelah hampir tiga bulan mengisi koridor kekuasaan, reformasi PH kelihatan berjalan dalam keadaan sederhana atau dalam tempo turun naik.

Pertindihan tugas Majlis Penasihat Kerajaan misalnya didakwa mengatasi peranan Kabinet dalam pembuatan keputusan. Ini membayangkan kuasa tidak seimbang dikuasai kelompok tertentu.

Kabinet merupakan eksekutif yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, manakala Majlis Penasihat bukanlah institusi yang menjalankan kuasa eksekutif bahkan hanya berfungsi menasihati.

Penukaran jawatan Ketua Hakim Negara dan utusan khas yang dihantar kerajaan ke China didakwa mengatasi peranan menteri berkaitan.

Bahkan kecenderungan rejim baharu menukar semaksimum mungkin kepimpinan organisasi berkaitan kerajaan terutamanya syarikat GLC menimbulkan pelbagai polemik.

Namun begitu, penulis tidak bermaksud mencadangkan kepada PH tidak boleh menukar atau menstruktur kepimpinan institusi, tetapi proses ini perlu teliti selaras dengan agenda reformasi yang bukan hanya menukar ‘kulit’ X kepada Y tetapi penting sekali kepada nilai dan prinsip iaitu ketelusan, akauntabiliti dan tidak memonopoli kuasa sehingga memegang pelbagai jawatan dalam kalangan individu sama.

Jika masalah ini tidak diatasi, perubahan hanya melibatkan struktur permukaan tetapi tidak berkisar kepada pengisian. Reformasi institusi bukan sekadar menukar nama, individu atau ‘mengisi kasut’ untuk menerajui institusi, tetapi kesemua sub-unit dalam masyarakat diperkasakan.

Jika tidak, reformasi tidak akan mengalirkan limpahan peluang, pemerataan ekonomi dan gagal membebaskan kelompok miskin daripada belenggu kefakiran.

Keghairahan terhadap soal pertumbuhan angka yang menakjubkan, ingin mengembalikan Malaysia sebagai Harimau Asia seperti pertengahan 90-an, hasrat membangunkan projek perindustrian kereta nasional ketiga, centric kepada golongan kapitalis, sedangkan pertimbangan memperkasakan masyarakat berpendapatan rendah seolah-olah masih dipinggirkan.

Penulis tidak menolak akan kepentingan korporat dan pembangunan perindustrian, tetapi pertimbangan kepada keadilan sosial perlu disetarakan.

Adakah kejayaan hanya diukur secara pertumbuhan fizikal, mendirikan bangunan mencakar langit, menaikkan nama produk Malaysia ke peringkat dunia? Pemikiran sebegini boleh disifatkan sebagai sebuah ‘pakej lama dalam bentuk baharu’ meskipun Malaysia telah mencapai orde baharu.

Namun hakikatnya rakyat masih berpendapatan rendah, kemiskinan kebendaan seperti pemilikan rumah dan keciciran pendidikan.

Sejak PH berkuasa, keadaan menggusarkan masyarakat pinggir, golongan luar bandar yang miskin, peneroka Felda, kelompok petani dan mahasiswa. Hal ini dibuktikan dengan kelewatan pembayaran bantuan sara hidup, ditambah kejatuhan harga komoditi getah dan kelapa sawit, bantuan kepada petani yang ditangguhkan serta penangguhan pembiayaan biasiswa MyBrain kepada pelajar pascasiswazah.

Oleh itu, timbul bibit kesangsian terhadap 10 janji Manifesto PH yang kelihatan sebagai ‘testimoni’, malah, PH belum mengumumkan pelan tindakan khusus menangani beban sara hidup, menaikkan gaji dan mengatasi harga perumahan semakin tinggi.

Jika dilihat dalam sejarah politik AS, reformasi polisi yang dinamakan ‘Great Society’ dilancarkan Presiden Johnson sejak 50 tahun lalu menekankan penagihan semula, ketidakadilan ras dan penghapusan kemiskinan. Untuk itu, program bantuan disasarkan kepada pendidikan, kesihatan, kemiskinan luar bandar dan pengangkutan awam.
Reformasi Johnson untuk mengimbangkan ekonomi yang terlalu pro pasaran yang meminggirkan kelompok rakyat bawah.
Namun harus diingatkan, program kebajikan, bantuan kewangan dan peranan kerajaan yang besar tidak semestinya menjadikan pemimpin itu tidak liberal dari segi ekonomi. Malah ini merupakan bentuk kerajaan/pemimpin demokrat yang berani mereformasi idealisme ke arah ‘jalan tengah’ yang pro rakyat dari segi dasar dan liberal dari segi politik.

Konteks ini menjelaskan reformasi dan manifesto PH terpaksa mengambil kira perubahan ekonomi politik semasa, idea baharu dan beban sejarah sebelum ini. Di sini juga rakyat perlu tampil untuk perubahan dan tidak lagi menunggu pemimpin bagi mengakhiri zaman ‘kerajaan terlalu kuat dan rakyat terlalu lemah.’

* Penulis ialah pelajar Ph.D Sains Politik di Universiti Awam. Artikel asal disiar di akhbar Sinar Harian, 5 Ogos 2018.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote