Malaysia Dateline

PH dijangka kekalkan status quo di PRK Dun Rantau, kata Saifuddin Nasution

Pakatan Harapan (PH) dijangka mengekalkan status quo berhubung parti komponen yang akan bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Rantau, kata Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Katanya ini berdasarkan PRK yang diadakan sebelum ini termasuk yang sedang berlangsung Dun Semenyih.

“Kebiasaannya kalau kita tengok selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berlaku beberapa pilihan raya kecil, kesemuanya mengekalkan status quo. Calon yang bertanding daripada parti yang bertanding sebelum atau semasa PRU14.

“Belum ada tanda-tanda kita akan hentikan amalan itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sebuah stesen minyak, di sini hari ini.

Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini berhubung petisyen pilihan raya bagi Dun Rantau.

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum hari ini menolak rayuan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban pada 16 November  lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi Dun Rantau sebagai terbatal dan tidak sah.

Keputusan itu sekali gus membuka laluan kepada PRK bagi Dun Rantau untuk diadakan.

Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu, berkata bagaimanapun perbincangan teliti akan diadakan dan keputusan dibuat oleh Majlis Presiden PH.

“Kerana kerusi ini adalah kerusi Keadilan, maka kami akan kemukakan cadangan ini dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan. Kalau ikut kebiasaannya, amalan itu (status quo) dituruti dan kami harap begitu juga untuk Dun Rantau,” katanya.

Mengenai calon pula, beliau berkata perkara tersebut diputuskan oleh parti yang bertanding dan akan disokong oleh pucuk pimpinan PH.- BERNAMA