PH disaran buat proses audit dalaman yang lebih efektif

PH disaran buat proses audit dalaman yang lebih efektif

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) boleh menjadi pentadbir yang lebih efektif dalam melaksanakan proses audit dalaman selagi ia tidak mengulangi kesilapan kerajaan terdahulu.

Bekas Ketua Audit Negara (AG) Tan Sri Ambrin Buang berkata tindakan susulan dan cadangan-cadangan dalam laporan AG mesti diambil serius atau amaran yang dikeluarkan oleh AG akan dibuang begitu sahaja seperti yang berlaku sebelum ini.

“Kita tidak mahu melihat kesilapan yang sama berulang lagi. Bagaimanapun, memandangkan kerajaan PH baru sahaja melangkaui 100 hari, kita tidak boleh menghukum mereka terlalu cepat,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan dalam Persidangan Audit Dalaman Sektor Awam 2018 semalam lapor Bernama.

Ambrin, yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Khas mengenai Perolehan, Pentadbiran & Kewangan, berkata orang ramai perlu mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ dalam memerhatikan keseriusan kerajaan menangani ketelusan membabitkan projek-projek rundingan terus dan proses tender terbuka.

“Kita akan pegang pada kenyataan mereka (kerajaan PH). Kita akan lihat bagaimana ianya akan dilakukan,” katanya.

Ambrin ketika bercakap mengenai jawatankuasa itu, berkata ia masih lagi tertumpu kepada Kementerian Pertahanan sebelum bergerak kepada kementerian-kementerian lain kerana terdapat banyak isu yang perlu diteliti.

“Ia akan mengambil masa. Mandat yang diberikan tidak menentukan bila kita perlu melengkapkan tugasan kita, jadi ia bersifat berterusan,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Ambrin menggesa juruaudit sektor awam untuk meluaskan pengetahuan mereka dan membaca laporan audit yang dibentangkan oleh rakan-rakan mereka di kementerian lain termasuk 1Malaysia Development Bhd.

“Maklumat dalam portal Jabatan Audit Negara boleh dicapai dan diperolehi oleh semua orang, termasuk media.

“Cuba menaruh minat dalam laporan-laporan audit seperti ini kerana anda boleh belajar daripada pengalaman yang didedahkan dalam laporan-laporan tersebut,” katanya.

Ambrin berkhidmat sebagai AG selama 11 tahun sebelum bersara pada 22 Feb tahun lepas.