Malaysia Dateline

PH dituduh ‘promosi’ ideologi komunis lagi, selepas MB Kedah didapati bersalah fitnah Mahfuz

Tidak serik-serik nampaknya pemimpin dan media Pas memfitnah Pakatan Harapan (PH) walaupun terbukti tindakan mahkamah terhadap mereka baharu sahaja berlaku dalam tempoh terdekat.

Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada masa ini tidak terkecuali menjadi medan pemimpin Pas Pusat menjalarkan fitnah demi memancing undi.

Kelmarin, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Kamaruzaman Mohamad pula menuduh PH membawa ideologi komunis dan tidak harus diberi mandat untuk kembali berkuasa.

Dakwanya dalam ceramah yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook Pas itu, pengundi di Melaka harus menolak PH atas rekod lalunya seperti mahu meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan “mempromosi” ideologi komunis.

“Statut Rom, ICERD, ideologi komunis…dosa besar (PH) yang tidak boleh dimaafkan.

“Kita begitu terkesan dengan keganasan komunis, tiba-tiba PH promosi ideologi komunis sebagai perjuangan negara. Ini jenayah besar,” dakwanya pada ceramah Perikatan Nasional (PN) pada 14 November lalu.

Tuduhan berat Kamaruzaman itu muncul tidak sampai seminggu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diperintahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membayar ganti rugi RM50,000 ekoran fitnah kepada Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Sanusi yang juga AJK Pas Pusat itu dalam akaun Facebook miliknya pada 30 Julai 2019 mengaitkan Mahfuz selaku wakil rakyat bagi kawasan Pokok Sena dalam isu pemindahan Sport Toto ke kawasan tersebut.

Sanusi juga didakwa oleh Mahfuz menerbitkan satu video berdurasi 7 minit 57 saat di akaun Facebook pada 27 Julai 2019, yang memaparkan sekumpulan individu membantah pembukaan Sport Toto di Pokok Sena sambil memegang sepanduk yang tertera nama plaintif.

Sementara itu, penulis Harakahdaily, Roslan Shahir yang menulis, “Husam: PAN parti diktator” dan disiarkan di portal rasmi Pas tersebut pada 14 September 2020 tampil memohon maaf kepada Presiden AMANAH, Mohamad Sabu pada 7 November lalu.

Roslan yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Pas Negeri Selangor mendakwa dia tidak sengaja telah menerbitkan berita yang disiarkan oleh portal The Malaysian Insight yang dakwanya lagi tidak dipastikan kesahihannya.