Malaysia Dateline

PH dulu tidak kacau pun Speaker Dewan Negara

Ahli Dewan Negara, Senator Aiman Athirah Al-Jundi menyifatkan sidang Dewan Rakyat yang berlangsung hari ini yang menyaksikan usul menukar Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof sebagai sangat memalukan.

Menurutnya, alasan kerajaan berubah maka speaker Dewan Rakyat perlu ubah sepertimana yang dihujahkan oleh Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh hanya menyerlahkan ketidakmatangan dan kedunguan melampau.

“Sepanjang 22 bulan PH (Pakatan Harapan) memerintah, Speaker Dewan Negara iaitu Presiden MIC, Tan Sri Datuk Vigneswaran dibiarkan kekal menjalankan tugasnya. Tiada kacau ganggu daripada eksekutif,” ujarnya.

Athirah berkata, anggota Dewan Negara yang pro PH tidak mendesak agar Vigneswaran diganti.

“Bahkan eksekutif (Pentadbiran PH) juga tidak bertindak merendahkan martabat Speaker dan Dewan Negara sepertimana yang kerajaan Melayu Islam Pas Umno Bersatu lakukan pada hari ini ke atas TS Dato Mohamad Ariff Md Yusof dan Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia,” tegasnya lagi.