Malaysia Dateline

PH fokus kesejahteraan rakyat dan ekonomi, umum Pelan Tindakan Maju Bersama Melaka

Pakatan Harapan (PH) akan memberi tumpuan kepada usaha mempertingkatkan aspek kesejahteraan rakyat, pemerkasaan ekonomi dan pelaksanaan reformasi pentadbiran di Melaka.

Komitmen itu dilihat menerusi pengumuman Pelan Tindakan Maju Bersama Harapan yang merangkumi tiga teras, enam strategi dan 32 inisiatif yang dibentangkan Pengerusi Pakatan Harapan Melaka, Adly Zahari petang ini.

Adly telah diberikan mandat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dua timbalan pengerusi PH untuk membentangkan pelan itu selepas beliau diumumkan sebagai calon ketua menteri jika PH menang dalam pilihan raya negeri kali ini.

Selain Anwar, turut serta di pentas utama ketika pengumuman dibuat adalah Presiden AMANAH, Haji Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng selain Adly sendiri.

Menurut Adly, tiga teras itu adalah Melaka Sejahtera, Melaka Makmur dan Melaka Stabil.

Teras Melaka Sejahtera menggariskan strategi memperkenalkan inisiatif bersepadu merangkumi aspek kesihatan fizikal dan mental serta kesejahteraan rakyat dalam bangkit dari cengkaman Covid-19.

Di bawah teras tersebut, beberapa inisiatif kesihatan telah direncanakan termasuk Dana Khas Covid-19 Melaka, Dana Ihsan Covid-19, Kad Melaka Sihat dan First Support Point Keganasan Rumah Tangga, katanya.

Sementara itu, di bawah teras sama, beberapa inisiatif kesejahteraan rakyat dirancang iaitu Skim Harapan Rakyat Melaka, Sskim Bakul Makanan Harapan, Skim Perumahan Rakyat Melaka (Mel-Home), Dana Ihsan Bencana, Melaka Digital dan pengecualian cukai tanah pertanian.

Dalam pada itu, Melaka Makmur menggariskan strategi untuk memperkasa ekonomi Melaka dengan mengukuhkan sektor ekonomi sedia ada dan meneroka sektor baharu bagi menyediakan peluang perniagaan peluang perniagaan serta pekerjaan di samping menarik pelaburan baharu.

Di bawah teras tersebut, dua inisiatif diperkenalkan iaitu inisiatif peluang pekerjaan dan inisiatif sokongan pekerjaan.

Yang terakhir, teras Melaka Stabil menggariskan strategi iaitu melaksanakan reformasi pentadbiran bagi menjamin kerajaan Melaka yang stabil, adil, telus dan berintegriti.