Malaysia Dateline

PH gagal ‘tawan’ hati pengundi Melayu luar bandar

 

Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Polisi Awam Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berpendapat, punca utama kekalahan Pakatan Harapan (PH) adalah disebabkan parti berkenaan tidak diterima oleh pengundi Melayu Subjek, (kategori Melayu luar bandar dan menengah rendah).

Beliau berkata, golongan Melayu Subjek cukup terkesan dengan isu Melayu-Islam yang dimainkan oleh Umno-Pas, sekali gus menarik pengundi untuk lebih cenderung ke arah parti lawan.

Katanya, dalam usaha mempengaruhi minda orang Melayu yang kini berasa terancam dengan pengaruh DAP, kempen Umno-Pas mengatakan PH dikuasai DAP, dilihat sangat berkesan.

“Selain itu, peningkatan kadar peratusan jumlah keluar mengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Semenyih yang dicatatkan sebagai rekod paling tinggi berbanding lima PRK lain, menunjukkan Umno-Pas telah berjaya memobilisasi pengundi Melayu keluar untuk mengundi secara maksimum.

“Dun Semenyih dan Parlimen Cameron Highlands yang didominasi Melayu bersifat tradisi, turut memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) yang mencorak sifat ‘kedesaan’.

“Di Cameron Highlands, jumlah keluar mengundi di kawasan orang Asli dan Melayu kadarnya sangat tinggi, iaitu antara 70% hinga75%, manakala kawasan kubu kuat PH pula, kadarnya hanya antara 65% hingga 70%.

“Aliran sama juga dilihat di Dun Semenyih, kadar keluar mengundi di daerah mengundi yang dimenangi parti lawan, lebih tinggi berbanding kawasan yang dikuasai PH,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Malaysia Dateline ketika diminta mengulas mengenai perbezaan pola pengundian di Semenyih dan Cameron Highlands.

Mengulas lanjut mengenai pasca PRK Semenyih, Mazlan menyifatkan ‘calon muda’ adalah salah satu penyebab kepada kekalahan PH.

Katanya lagi, demografi Semenyih yang terdiri daripada kategori pengundi bercampur-campur antara Melayu tradisi (kampung) dengan Melayu bandar, dilihat kurang sesuai kepada golongan muda.

“Calon BN, Zakaria Hanafi lebih matang dan dilihat memiliki latar belakang agama yang berpotensi menarik minat Melayu tradisi.

“Pengundi juga mungkin melihat pemilihan Muhammad Aiman Zainali, yang juga menantu kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semenyih sebagai amalan kronisme, di samping beberapa kontroversi pernah ditimbulkannya sebelum ini,” katanya.