Dalam berpilihan raya menang atau kalah adalah perkara biasa, tetapi yang luar biasanya adalah apabila parti yang menang bukanlah kerana ia diterima rakyat tetapi kerana parti lawannya ‘berbunuhan’ sesama sendiri.
Pasca PRN Johor membuktikan fakta ini. Jika dilihat kepada asas peratus keluar undi, undi popular yang diraih dan gabungan kombinasi undi yang menolak BN. Hal ini penting kerana jawapan-jawapannya nanti akan menjadi teras utama strategi PH ++ lawan BN.
Peratus keluar undi adalah rendah iaitu 54.92% atau dari 2.6 juta pengundi Johor hanya 1.4 juta sahaja yang mengundi.
Kemenangan BN diterjemahkan dengan hanya 43% undi keseluruhan manakala undi yang menolak BN lebih tinggi iaitu 56.8%. Inilah yang dikatakan parti yang menang lemah dan tidak boleh dikatakan mewakili aspirasi bangsa Johor.
Hakikatnya BN hanya boleh menang 23 kerusi jikalau parti PH ++ menggabungkan undi mereka dan boleh memenangi 17 kerusi. Itulah kekuatan jika gabungan tolak BN bersatu tenaga mampu memberikan rakyat Johor sesuatu yang lebih bermakna.
PH gagal merealisasikan konsep ‘khemah besar’ kerana mungkin PH perlu jiwa-jiwa yang lebih besar untuk menampung keperluan berbagai arus yang lawan BN. Jiwa besar inilah yang jadi penghalang utama kerana ada di kalangan parti PH yang merasakan ‘I can do it alone’ atau ‘it’s my way or never!’
Pengajaran penting dalam tiga PRN yang berlalu untuk PH ialah:
- Tiga parti teras PH perlu bersetuju kepada satu logo dan terbukti lambang PH dapat diterima pengundi dan sebaliknya PKR yang memilih lambang partinya sendiri terpaksa mengalah kepada ‘hukuman’ pengundi. Sukar mempertahankan hujah parti PH tetap solid walaupun lambang PKR berbeza dengan dua rakannya. “Let’s go back to basic!”
- Kesatuan suara tolak BN perlu menjadi titik pertemuan atas naratif tolak rasuah, tolak perkauman sempit dan pulihkan demokrasi. Ia perlu menjadi pertembungan Integrity & Unity vs Corruption & Destruction. Semua parti yang lawan BN di Johor sebenarnya membawa faktor kesamaan dalam kempen mereka iaitu lawan BN yang korup! Faktor melawan korupsi ini perlu lebih besar dari siapa patut memimpin gelombang lawan BN.
- Parti-parti ‘yang baru nak up’ kena jujur bertanya mereka nak lawan BN yang terbukti merosakkan negara secara sistemik ataukah mereka nak pilih berlumba dengan parti yang punya tujuan yang sama melawan BN? Apakah pemimpin otai seperti DSSA, Tun M, TSMY (semuanya dari UMNO dulu) tidak faham logik perlu bergabung tenaga untuk menang ataukah dendam peribadi kepada DSAI menguasai strategi politik mereka?
- Majlis Presiden PH perlu buat keputusan muktamad samada kerangka strategi mereka hari ini masih relevan atau tidak? Isu mudah tetapi rumit perlu diselesaikan seperti guna lambang berbeza, sikap ego enggan bertolak ansur dengan parti lain yang melawan BN dan terlampau melayan kehendak grassroot sehingga menggagalkan strategi lebih besar melawan korupsi dan selamatkan negara dari kehancuran.
Kekalahan PH dan suara tolak BN sepanjang 3 PRN ini adalah isyarat jelas kepada hilangnya keyakinan pengundi kepada demokrasi berpilihan raya.
Walaupun pengundi sukar menerima BN yang terpalit dengan isu integriti namun pengundi juga kecewa kepada pembangkang yang berpecah sekaligus mengikis kepercayaan mereka terhadap demokrasi pilihan raya.
Keadaan ini sangat bahaya kerana ia menjejaskan keperluan membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan berintegiriti.
Bersediakah PH + Gelombang Tolak BN duduk sekali dan belajar dari ‘kesilapan bodoh’ mereka dalam usaha menjatuhkan BN di Johor? Bersediakah pemimpin otai pembangkang buangkan ego masing-masing dan fikirkan kepada pemulihan demokrasi dan negara?
Jika tiada respons kepada semua yang dibangkitkan, kita telah menempah tiket kekalahan sebelum PRU bermula.
Umno pula sudah berangan menempah tiket untuk menang besar demi selamatkan tengkuk pemimpin mereka yang tersabit dan terbabit dalam kes-kes rasuah berprofil tinggi.