PH gerak jentera ziarah, dengar keluhan peniaga di Parlimen  Kuala Kedah

PH gerak jentera ziarah, dengar keluhan peniaga di Parlimen Kuala Kedah

Dr Ismail Salleh

Datuk Dr Ismail Salleh

Prihatin dan peduli terhadap pelbagai masalah yang sedang dihadapi oleh rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, Amanah Negeri Kedah khususnya bagi Parlimen Kuala Kedah mengambil pendekatan segera bagi mendengar keluhan dan rintihan golongan tersebut.

Sehubungan itu Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh bersama-sama dengan pimpinan Pakatan Harapan (PH) Kuala Kedah telah menziarahi dan melawat mereka yang sakit serta tidak berupaya di Taman Bersatu, Kuala Kedah semalam.

Dalam ziarah tersebut didapati terdapat keluarga yang amat terbeban dengan kos sara hidup yang amat tinggi sehinggakan amat menyukarkan mereka walaupun hanya untuk membeli lampin pakai buang, susu, dan ubat-ubatan setelah pendapatan mereka amat rendah.

“Memang ada yang menerima sumbangan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan, namun jumlah itu tidak mampu untuk menampung kos sara hidup yang amat melampau kini.

“Cuba bayangkan dengan jumlah tersebutlah mereka perlu gunakan untuk berulang alik ke hospital yang melibatkan kos pengangkutan serta ubat-ubatan yang mahal.

Datuk Dr Ismail menziarahi sebuah keluarga  OKU di Taman Bersatu dalam program ziarah turun padang semalam.

“Selain itu mereka juga terpaksa menggunakan sumbangan itu untuk membeli pampers maupun susu setiap minggu, sedangkan sumbangan yang diberikan oleh JKM tidak dapat menampung keperluan yang ada, “,jelasnya.

Menurut Dr Ismail lagi, seharusnya kerajaan mengambil inisiatif untuk memastikan harga barangan keperluan tidak melambung tinggi sehingga membebankan golongan miskin dan berpendapatan rendah.

Namun begitu, akibat kelemahan kerajaan sedia ada, maka pengawalan terhadap harga barangan tidak dapat dilaksanakan sehinggalah rakyat terbeban dan menjadi mangsa kepada polisi lemah tersebut.

Keluhan peniaga turut didengari oleh pimpinan Pakatan Harapan.

Dalam pada itu ujarnya, ziarah turut dilakukan di kawasan Taman Bersatu bagi mengedar risalah PH serta mendengar keluhan para peniaga.

“Rata-rata peniaga yang menerima risalah PH memberi reaksi yang amat memberangsangkan untuk menukar kerajaan sedia ada yang gagal untuk membela nasib golongan marhaen.

“Mereka mengeluh kerana kurangnya pembeli dan ‘profit margin’ yang mengecil sehinggakan terpaksa menaikkan harga barang yang dijual.

“Akibat dari situasi ini, ia memberi kesan yang amat besar apabila ada antara peniaga tidak mampu untuk menampung kos dan modal mereka, ” tegasnya.

Beliau yang juga merupakan mantan exco kerajaan negeri Kedah turut berkata, melihat kepada senario politik sedia ada, keluhan dan rintihan yang diluahkan membuktikan rakyat semakin tertekan dengan kepimpinan kerajaan sedia ada.

Mereka bukan saja mahukan pembaharuan kepimpinan di negeri Kedah, sebaliknya amat mengharapkan PH mampu untuk mengambilalih tampuk pemerintahan menjelang pilihan raya umum ke 14 yang akan datang.

Risalah turun diedarkan kepada peniaga-peniaga.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS