PH gesa Bank Negara guna kuasa penuh bertindak ke atas 1MDB

PH gesa Bank Negara guna kuasa penuh bertindak ke atas 1MDB

Pakatan Harapan (PH) mendakwa Bank Negara Malaysia belum menggunakan sepenuhnya kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 untuk berlaku adil kepada rakyat dalam skandal 1MDB.

Presiden PH Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau terkejut apabila Bank Negara Malaysia dilaporkan telah mendenda 1MDB sejumlah RM115.8 juta kerana gagal mematuhi Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

“Secara logiknya, jika Bank Negara Malaysia sudah pun mengenakan denda sehingga RM115.8 juta ke atas 1MDB, itu bermakna berlaku banyak pelanggaran undang-undang dalam urusan 1MDB.

“Sudah tentu urusniaga dan tindakan yang melanggar undang-undang ini dibuat atas arahan seseorang atau sesuatu pihak kerana 1MDB bukanlah satu makhluk yang bertindak sendiri,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas jawapan Bank Negara terhadap memorandum daripada PH yang memohon siasatan terhadap skandal 1MDB dibuka semula.

Menurut Presiden PKR itu juga, Setakat ini, Bank Negara Malaysia hanya menggunakan kuasa di bawah Fasal 234(3)(b) untuk mendenda 1MDB dan entiti-entiti berkaitan sebanyak RM115.8 juta.

“Malangnya, tindakan mengenakan denda ke atas 1MDB sebenarnya samalah seperti mendenda rakyat Malaysia kerana segala tanggungan hutang dan denda ke atas 1MDB kini ditanggung oleh rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau juga ingin mendapat kepastian sama ada baki berjumlah RM62.1 juta yang telah dikenakan sudah dibayar atau tidak dan siapa yang telah membayarnya.

“Dari denda berjumlah RM115.8 juta ini, laporan media ada menyebut bahada RM53.7 juta telah dikenakan terhadap AmBank kerana melanggar Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

“Jika 1MDB atau entiti berkait 1MDB yang membayarnya, ini bermakna sudahlah rakyat Malaysia menjadi mangsa penyelewengan dana rakyat di dalam 1MDB, kini rakyat Malaysia terpaksa juga menanggung denda yang dikenakan ke atas 1MDB,” katanya.

Justeru beliau akan membuat laporan polis minggu depan untuk membolehkan Bank Negara Malaysia menyiasat Datuk Seri Najib Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, ahli-ahli lembaga pengarah 1MDB (dahulu dan sekarang) serta pengurusan kanan 1MDB (dahulu dan sekarang) di bawah Fasal 234(5).

“Perlu diingatkan bahawa pada ketika pelbagai dakwaan terhadap 1MDB ini berlaku, Artikel 117 dalam Memorandum dan Artikel Penubuhan Syarikat (M&A) 1MDB menyatakan bahawa sebarang komitmen kewangan 1MDB memerlukan kebenaran bertulis Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak,” katanya.

7.0
OVERALL SCORE
: 7.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS