Malaysia Dateline

PH gesa buat penguatkuasaan kawal harga barang yang melonjak di luar kawalan

Jawatankuasa Kos Sara Hidup Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan supaya bertindak segera untuk mengawal harga barang yang melonjak di luar kawalan sekarang.

Menerusi kenyataan bersama hari ini, tepung gandum sebagai contoh kini dijual pada harga RM3 sekilogram iaitu 50 sen lebih mahal manakala susu pekat dijual RM3.80 iaitu meningkat 60 sen.

“Begitu juga cili padi kini dijual RM25 sekilo. Sebelum ini harganya RM17 sekilo,” kata kenyataan tersebut.

Dalam masa sama, PH juga menyifatkan kerajaan kelihatan gagal mengawal harga ayam di pasaran apabila dijual RM10.50 sekilo melebihi harga kawalan yang ditetapkan kerajaan pada harga RM8.90 sekilo.

“Kami bagi pihak Pakatan Harapan menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna supaya segera menjalankan penguatkuasaan yang menyeluruh di seluruh negara,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu ditandatangani Hassan Abdul Karim (Ahli Parlimen Pasir Gudang, PKR); Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (Ahli Parlimen Hulu Langat, AMANAH); Chong Chieng Jen (Ahli Parlimen Stampin, DAP); Natrah Ismail (Ahli Parlimen Sekijang, PKR), Sivakumar Varatharaju Naidu (Ahli Parlimen Batu Gajah, DAP); Chan Foong Hin (Ahli Parlimen Kota Kinabalu, DAP) dan Cha Kee Chin (Ahli Parlimen Rasah, DAP).

Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari AMANAH turut menganggotai jawatankuasa itu iaitu Norhayati Bachok dan Asmirul Anuar Aris masing-masing ADUN Maharani dan Kubang Rotan.

Umat Islam terus dibebani dengan kenaikan mendadak beberapa barangan makanan asas sejak awal Ramadan.

Baca juga: https://malaysiadateline.com/tahun-lalu-rm15-hari-ini-harga-ayam-percik-rm25-seekor-ini-alasan-peniaga/

Baca juga: https://themalaysialife.com/peniaga-buang-kopi-pelanggan-hanya-kerana-dibayar-menggunakan-syiling-5-sen/