Malaysia Dateline

PH gesa Ismail Sabri segera tunaikan janji bahas RUU Anti Lompat Parti

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri yang telah beberapa kali memberi komitmen untuk membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti digesa segera tunaikan janjinya.

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa agar Ismail Sambri mengadakan Sidang Khas Parlimen sesegera mungkin bagi membahaskan RUU Anti Lompat Parti.

“Sebelum ini beliau telah beberapa kali memberikan komitmen untuk membahaskan RUU tersebut, maka janji itu harus ditunaikan.

Perdana Menteri berkali-kali bagi komitmen mahu bahas RUU Anti Lompat Parti, sehingga kini janji belum ditunaikan

“Selain RUU, Sidang Khas Parlimen ini juga harus membincangkan permasalahan dihadapi rakyat ketika ini antaranya kos sara hidup dan inflasi,” kata Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Pakatan Harapan juga meminta perbincangan mengenai pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengesan beberapa pembelian untuk sektor perkhidmatan kesihatan negara yang terpalit dengan rasuah ketika pandemik COVID-19 melanda.

Justeru, Majlis Presiden menggesa Perdana Menteri untuk bertindak secepat mungkin bagi membolehkan kesemua perkara ini dibahaskan.

Semalam, Datuk Zuraida Kamaruddin mengumumkan keputusannya meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Ahli Parlimen Ampang itu turut mengumumkan keputusannya meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Menurut Zuraida, beliau bagaimanapun, tetap menyokong Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Susulan itu, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut mendesak pindaan RUU itu disegerakan

Sekiranya tidak disegerakan kata Zahid tidak mustahil krisis kepercayaan terhadap sistem demokrasi dan institusi politik akan menyebabkan kadar peratusan mengundi semakin rendah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Baca juga: Netizen kritik Ismail Sabri sepatutnya pakai baju batik atau suit jumpa PM Singapura