Malaysia Dateline

PH gesa kerajaan berhenti persalahkan penjawat awam

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) menyeru kerajaan supaya berhenti menyalahkan penjawat awam dan menyifatkan tindakan memecat jawatan-jawatan lantikan kerajaan sebelum ini daripada golongan professional pada masa ini adalah tidak wajar dan bukan keutamaan.

Dalam satu kenyataan hari ini, majlis berkenaan melahirkan rasa kesal terhadap perkembangan mutakhir ini berkaitan pemecatan beberapa jawatan dalam agensi dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

“Kami berpandangan kerajaan tidak seharusnya bertindak melulu ketika negara sedang berhadapan dengan bencana wabak Covid-19.

“Kerajaan perlu menumpukan segala daya usaha dalam memerangi wabak ini dengan meletakkan rakyat sebagai kepentingan utama dan bukannya bermain agenda politik.

“Kami juga mengambil maklum tindakan kerajaan menarik balik kebenaran kepada beberapa syarikat penjualan arak ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dilaksana.

“Namun demikian tindakan kerajaan yang seolah-olah meletakkan kesalahan kepada Ketua Setiausaha kementerian terbabit adalah satu penghinaan terhadap kakitangan awam,”

“Menteri terbabit seharusnya mengambil tanggungjawab berdepan dengan masyarakat dan menyatakan kesilapan, bukannya berdiam diri atau menuding jari ke pihak lain,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu dibuat bersama oleh Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PKR), Datuk Wira Dr Hatta Ramli (AMANAH) dan Liew Chin Tong (DAP).

Menurut kenyataan itu lagi, adalah jelas bahawa kuasa untuk meluluskan perkara dasar yang bukan pentadbiran terletak kepada Menteri yang terlibat terutamanya dalam tempoh Perintah Kawalan Perkhidmatan (PKP) ini.

Katanya, tindakan seperti ini bukan sahaja memperkecilkan kredibiliti dan integriti penjawat awam tetapi juga menjatuhkan semangat mereka yang setia berkhidmat dalam tempoh PKP ini.

“Oleh itu, kami mengharapkan Perdana Menteri dan Kerajaan dapat memberikan komitmen penuh dalam meneruskan usaha reformasi institusi pentadbiran dan politik.

“Ini termasuklah memperkasakan perkhidmatan awam dengan memberi penghormatan yang sewajarnya kepada penjawat awam agar mereka boleh menjalankan tanggungjawab dengan profesional tanpa tekanan atau ancaman,” katanya.

Pihaknya juga mengharapkan tadbir urus bagi agensi dan Syarikat Berkaitan Kerajaan akan terus bebas daripada cengkaman parti politik dengan memastikan lantikan pengerusi dan ahli lembaga adalah dari kalangan profesional yang berpengalaman dan bukan berdasarkan kaitan politik mereka.

Menurut laporan The Malaysian Insight semalam, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Hasnol Zam Zam Ahmad ditukarkan ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan lantikan sebagai Pengerusi berkuatkuasa 1 April 2020.

Pengumuman pertukaran itu dibuat ketika Hasnol Zam Zam jadi perhatian selepas dua surat yang ditandatanganinya sebagai KSU KPDNHEP tular.

Surat berkenaan, masing-masing bertarikh 31 Mac dan 4 April, adalah pengecualian kepada dua kilang arak iaitu Heineken dan Carlsberg untuk beroperasi sewaktu perintah kawalan pergerakan berkuat kuasa.

Sebelum itu media melaporkan Bakke Mohd Salleh, yang dikenali antara beberapa individu yang lantang bersuara mengenai 1MDB sebelum ia menjadi skandal global, meletakkan jawatan sebagai Pengerusi MPOB atas desakan kerajaan.