Malaysia Dateline

PH gesa kerajaan longgar PKP ikut zon status jangkitan

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan menggesa kerajaan agar melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengikut zon status jangkitan sekiranya tempoh berkenaan bakal dilanjutkan lagi.

PH berkata, berdasarkan pencapaian lekuk pendemik yang mula menampakkan kejayaan, adalah wajar bagi kerajaan menimbangkan untuk mengembalikan suasana kehidupan rakyat di mana sebahagian aktiviti ekonomi dibenarkan untuk membantu memulihkan pendapatan mereka.

Menurutnya, terdapat beberapa daerah atau lokaliti yang sememangnya tidak terkesan dengan jangkitan Covid-19 sejak dari awal epidemik bermula yang ditakrifkan sebagai zon hijau.

“Beban ekonomi khususnya kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan kumpulan B40 yang berada dalam zon hijau dapat dibantu dengan kaedah mengisytiharkan zon hijau mengikut kedudukan terkini jangkitan, daerah atau mukim.

“Penduduk di zon hijau ini boleh dibenarkan membuka gerai makanan, pasar tani, bengkel kereta dan sebagainya tertakluk kepada syarat-syarat dan garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat bersama antara Setiausaha Agung AMANAH, Datuk Dr Hatta Ramli; Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil; dan DAP, Loke Siew Fook.

Sementara itu, antara langkah lain yang dicadangkan adalah kawalan rapi perjalanan keluar masuk ke kawasan hijau yang dikekalkan oleh pasukan keselamatan.

Pada masa sama menurut PH, syarat-syarat dan garis panduan KKM masih perlu dikekalkan yang berkait dengan urusan penjarakan sosial, kebersihan diri, pemakaian penutup muka serta larangan ke majlis keramaian atau perhimpunan orang ramai.

“Majlis Setiausaha berpandangan langkah-langkah di atas akan memberi galakan kepada rakyat terutama di zon hijau untuk terus mematuhi PKP, mengurangkan jangkitan, serta mula memulihkan ekonomi setempat,” katanya.

PH juga berkata, setakat ini jumlah katil hospital untuk pesakit Covid-19, serta kemudahan ICU termasuk jumlah alat bantuan pernafasan berada ditahap memuaskan.

Kadar penyembuhan pula dilaporkan tinggi iaitu 33 peratus, manakala jumlah kematian setakat hari ini ialah 63 atau 1.6 peratus dari jumlah kes positif.