Malaysia Dateline

PH gesa kerajaan teruskan program sarapan pada 2.4 juta keluarga

Pakatan Harapan dan parti-parti blok pembangkang menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk meneruskan pelaksanaan Program Sarapan Percuma (PSP) untuk semua 4.79 juta murid di seluruh negara.

Jawatankuasa Pendidikan PH berkata, PSP akan memberi manfaat kepada lebih dari 2.4 juta keluarga miskin di seluruh negara yang sebahagiannya adalah golongan M40 yang telah jatuh sebagai golongan B40 akibat pandemik Covid-19.

Katanya, PSP akan membantu tiga golongan sasar yang mendapat manfaat secara langsung melalui program ini iaitu murid, ibu bapa dan juga pengusaha kantin.

“Hampir 70 peratus murid tidak mengambil sarapan pagi pada hari persekolahan sebelum berlakunya pandemik Covid-19 kerana pelbagai faktor.

“Keadaan menjadi semakin serius selepas terletusnya pandemik dan ketika sekolah sudah mula dibuka kembali.

“PSP akan menjadi sebuah program intervensi untuk memastikan semua murid mendapat sarapan berkhasiat sepanjang tahun tanpa mengira latar belakang sosio-ekonomi mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat bersama Pengerusinya, Dr Maszlee Malik; Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR); Teo Nie Ching (DAP); Datuk Dr Hasan Baharom, (AMANAH); Wilfred Madius Tangau, Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO); dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Parti Malaysian United Democratic Alliance (MUDA).

Turut serta, Amiruddin Hamzah, Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG); Isnaraissah Munirah Majilis, Parti Warisan Sabah (WARISAN); Baru Bian, Parti Sarawak Bersatu (PSB)

Untuk rekod, PSP telah dimulakan secara rintis di beberapa buah sekolah melibatkan 6,303 murid pada 27 Ogos sehingga 22 November 2019 iaitu sebanyak 64 hari persekolahan.

Sementara itu, PH dan blok pembangkang menegaskan, program PSP akan melegakan sehingga 70,000 pengusaha kantin kerana mereka kebanyakannya hanya bergantung kepada penjualan makanan kepada murid sekolah sebagai punca pendapatan utama.