Malaysia Dateline

PH gesa KPM kemuka pelan pemulihan murid cicir, keberkesanan PdPR

Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) menggesa agar Kementerian Pendidikan (KPM) mengongsikan data jumlah keciciran murid serta menyatakan pelan mereka untuk memperbaiki keadaan dan langkah-langkah pemulihan.

Pengerusinya, Dr Maszlee Malik berkata, KPM juga harus membentangkan pelan penambahbaikan keberkesanan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR​) demi kelangsungan pendidikan murid-murid di seluruh negara.

“KPM seharusnya mewujudkan satu laman web rujukan yang khusus (one stop center) kepada para guru dengan memuatkan bahan pengajaran, modul dan latihan yang boleh digunakan untuk PdPR,” ujarnya dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Jawatankuasa yang diwakili PKR, AMANAH dan DAP itu juga menuntut kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menubuhkan Majlis Tindakan Pendidikan Kebangsaan.

Majlis yang berperanan untuk merangka pelan bersepadu pendidikan pasca Covid-19 itu, jelas jawatankuasa itu, perlu dianggotai pakar, profesional, ahli akademik dan wakil daripada para guru dan persatuan ibu bapa.

“Hal ini telah berkali-kali dibawa oleh pelbagai pihak namun dipandang sepi oleh kerajaan,” tegas Maszlee lagi.

Dalam masa sama, JKPPH mengingatkan perlunya pihak kerajaan menggembleng tenaga antara KPM, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan agensi-agensi lain untuk memperbanyakkan lagi siaraya, mesej video tular dan rancangan di televisyen untuk membimbing ibu bapa bagi membantu anak-anak sepanjang PdPR berlangsung.

Selain Dr Maszlee, enam lagi pemimpin yang menganggotai JKPPH ialah Nik Nazmi Nik Ahmad, Natrah Ismail dan Rusnah Aluai, masing-masing dari PKR; Datuk Dr Hasan Baharom (AMANAH) dan dua lagi wakil dari DAP iaitu Teo Nie Ching dan Steven Sim Chee Keong.