Malaysia Dateline

PH gesa KPT dengar tuntutan mahasiswa, turunkan kadar yuran pengajian IPTA

Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan menggesa agar pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menurunkan yuran di Universiti-Universiti Awam selaras dengan tuntutan para siswa yang selama ini mengadu perlu membayar yuran penuh biarpun pengajian kini dilakukan secara atas talian.

PH berkata, KPT perlu mempertimbangkan memberikan subsidi tambahan kepada pihak universiti di atas penurunan tersebut untuk menampung kos pengurusan universiti melalui geran-geran khas sementara sepanjang krisis ekonomi dan wabak yang melanda.

Menurutnya, penurunan yuran berkenaan melibatkan kepentingan 500,000 pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

“PH menggesa kementerian menyalurkan lebih banyak geran-geran untuk pembangunan infrastruktur dan
infostruktur digital di kesemua 20 IPTA demi memastikan kelancaran pembelajaran secara digital.

“Bagi pihak IPTS pula, kerajaan perlu mengimbangkan di antara kelangsungan pengurusan pihak IPTS yang terbabit dan juga kemaslahatan para pelajar.

“Maka dicadangkan agar kerajaan memberikan subsidi bayaran yuran kepada para pelajar dari keluarga B40 dan M40 yang belajar di IPTS yang memungkinkan pihak IPTS
membuat penurunan yuran yang dikenakan ke atas mereka,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Kenyataan tersebut dibuat bersama Pengerusi JK Pendidikan Pakatan Harapan, Dr Maszlee Malik; Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR-Setiawangsa) Datuk Dr Hasan Bahrom (AMANAH-Tampin); Teo Nie Ching (DAP-Kulai); Natrah Ismail (PKR-Sekijang); Steven Sim Chee Keong (DAP-Bukit Mertajam); dan Rusnah Aluai (PKR-Tangga Batu)

Sementara itu, PH menambah, jawatankuasanya mencadangkan agar pengecualian cukai ke atas IPTS juga dilakukan berdasarkan jumlah biasiswa yang mereka berikan kepada pelajar yang memerlukan, dan juga berdasarkan penurunan yuran yang mereka berikan kepada para pelajar tempatan.