Malaysia Dateline

PH gesa kurangkan kesesakan penjara demi lindungi seluruh rakyat

Jawatankuasa Keselamatan Pakatan Harapan (JKPH) menggesa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Bin Zainudin segera untuk mengurangkan kesesakan dalam penjara dan pusat tahanan demi melindungi seluruh rakyat Malaysia.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini mewakili AMANAH, PKR dan DAP, mereka menegaskan kesihatan penjara juga merupakan kesihatan awam.

“Menurut laporan media sepanjang beberapa bulan lepas, dianggarkan terdapat lebih 20,000 kes Covid-19 di penjara dan pusat tahanan termasuk kes jangkitan kakitangan penjara.

“Sebagaimana tercetusnya gelombang ketiga Covid-19 pada September 2020 yang berpunca daripada pusat tahanan, jelas sekali, dinding penjara semata-mata tidak dapat memerangkap virus dan penularan boleh merebak ke dalam komuniti dan membahayakan masyarakat,” jelasnya.

Kenyataan bersama itu ditandatangani Mohamad Sabu yang juga Presiden AMANAH; Syed Ibrahim Syed Noh (PKR) dan Syahredzan Johan mewakili DAP.

“Bagi memahami isu ini dengan lebih lanjut, satu taklimat telah diatur bersama Kumpulan Rentas Parti Parlimen Mengenai Reformasi Penjara dan Tempat Tahanan (KRPPM) yang diwakili oleh ahli akademik Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman dan peguam Sangeet Kaur Deo.

“Antara lain, penyelesaian yang perlu dipertimbangkan kerajaan untuk mengurangkan kesesakan ini termasuklah pelaksanaan Pembebasan Banduan Secara Lesen (PBSL) bagi 11,018 tahanan yang mempunyai sabitan hukuman bawah setahun yang baki hukumannya kurang dari tiga bulan,” katanya.

Dalam masa sama, JKPH menegaskan hukuman alternatif kepada pemenjaraan buat kesalahan ringan juga perlu diteliti seperti hukuman denda, khidmat masyarakat, dan penahanan rumah dengan pemantauan peranti.

“Contohnya, kerajaan perlu mengenakan hukuman alternatif kepada pelanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana hukuman penjara hanya akan menambah kepada masalah kesesakan dan berkemungkinan meningkatkan risiko penularan virus di pusat-pusat tahanan,” ujarnya lagi.