Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) menggesa Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberi penjelasan berhubung pertemuan Duta Besar Malaysia ke Myanmar, Datuk Zahairi Baharim dengan Menteri Elektrik dan Tenaga Myanmar, Aung Than Oo di Naypyidaw semalam.
Dalam kenyataan hari ini, PH berpendapat pertemuan tersebut menimbulkan beberapa persoalan berkait pendirian Malaysia terhadap junta Myanmar.
“Umum sedia maklum bahawa kerajaan yang dipilih rakyat Myanmar secara sah telah diguling
pihak tentera Myanmar atau Tatmadaw dalam satu kudeta pada 1 Februari 2021.
“Pertemuan Duta Besar Malaysia dengan junta Myanmar, terutama tatkala pendirian Malaysia dalam isu tahanan politik dan sidang tergempar ASEAN tidak berubah, menimbulkan persepsi Malaysia mengiktiraf kerajaan tersebut,” katanya.
“Oleh itu, kami mendesak Menteri Luar Negeri untuk segera memberi penjelasan,” katanya.
PH turut berpendapat permintaan-permintaan Malaysia sebelum ini tidak tercapai sekali gus tidak membantu usaha mengembalikan demokrasi di Myanmar.
“Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini telah menggesa tahanan politik
termasuk Aung San Suu Kyi dibebaskan segera.
“Beliau juga telah menggesa agar satu sidang tergempar Asean diadakan untuk membincangkan keadaan di Myanmar selepas kudeta Tatmadaw pada 1 Februari lalu,” kata PH lagi.
Kenyataan bersama itu melibatkan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PKR), Khalid Samad
(AMANAH) dan Liew Chin Tong (DAP).