Malaysia Dateline

PH gesa Muhyiddin perjelas motif sembunyi cubaan bunuh Mahathir, menteri

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa Tan Sri Muhyiddin untuk memberikan penjelasan segera berhubung cubaan untuk membunuh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Januari 2021.

Menerusi kenyataan bersama pemimpin PKR, AMANAH dan DAP malam tadi, Majlis Presiden ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas tindakan tegas dalam menggagalkan percubaan tersebut.

Selain Mahathir, pengganas itu juga cuba untuk membunuh bekas menteri-menteri, Lim Guan Eng dan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof serta bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas, yang masih dalam kerajaan PH pada masa itu.

“…. Kami kesal di atas sikap Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang merupakan Menteri Dalam Negeri pada waktu itu, yang gagal memaklumkan perkara ini kepada pimpinan Pakatan Harapan serta rakyat Malaysia amnya.

“Kegagalan tersebut menimbulkan persoalan motif sebenar perkara ini disembunyikan daripada pengetahuan pemimpin berkenaan dan kerajaan Pakatan Harapan,” tegas PH lagi.

Terdahulu, polis memaklumkan telah berjaya menggagalkan hasrat seorang lelaki dalam cubaan membunuh itu apabila ditahan pada Januari lalu.

Suspek yang bergerak solo itu dipercayai terlibat dengan kegiatan pengganas dan merancang serangan itu sebagai usaha menunjukkan sokongan terhadap kumpulan militan Daish.