Malaysia Dateline

PH gesa Peguam Negara perjelas keputusan kes Musa Aman yang ditarik semula

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) menggesa agar Peguam Negara tampil menjelaskan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini berhubung pendakwaan kes rasuah yang ditarik semula terhadap bekas Ketua Menteri Sabah.

Ia susulan mahkamah yang memutuskan untuk membebaskan Tan Sri Musa Aman daripada 46 kes pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram di negeri itu.

PH dalam satu kenyataan bersama berkata, keputusan Pejabat Peguam Negara dianggap membingungkan malah juga mengecewakan.

“(Ini kerana) memandangkan 46 pertuduhan itu melibatkan dakwaan penyelewengan atau pengubahan wang haram berjumlah lebih RM50 juta.

“Ini bukan jumlah pertuduhan yang kecil dan ini juga bukan jumlah wang yang kecil,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan tersebut dibuat antara AMANAH, Khalid Samad; PKR, Fahmi Fadzil; dan DAP, Dr Ong Kian Ming.

Justeru PH menegaskan agar Pejabat Peguam Negara segera memberi penjelasan penuh berkenaan keputusan terbabit oleh kerana ia bakal mencerminkan wajah sebenar pentadbiran yang ada hari ini.

Terdahulu, mahkamah membuat keputusan melepaskan Musa Aman selepas diberitahu bahawa pihak pendakwaan menarik balik kesemua pertuduhan berkenaan.

Peguam bela Musa, Francis Ng Aik Guan dilapor turut mengesahkan pembebasan anak guamnya.

Pada 12 Februari lalu, Musa, 69, yang juga bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah memohon untuk membatalkan kesemua pertuduhan terbabit.

Bagi kes rasuah, Musa berdepan dengan 30 pertuduhan, sebagai ejen kerajaan Sabah iaitu Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, secara rasuah memperoleh untuk diri sendiri, suapan daripada lapan pemilik konsesi balak berjumlah US$50.1 juta.