Malaysia Dateline

PH gesa pertimbang tangguh bayaran balik pinjaman LPPSA

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) menggesa Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) untuk mempertimbangkan keputusan yang tidak memberi sebarang penangguhan pembayaran balik ansuran bulanan pembiayaan perumahan.

Dalam satu kenyataan bersama, PH berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan pendirian LPPSA dan mencadangkan agar penangguhan pembayaran selama enam bulan kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah bermula 1 April 2020.

Ini kerana katanya, dalam keadaan ekonomi negara yang semakin suram dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, semua golongan pekerja tidak terkecuali daripada terkesan.

“Ini termasuk sejumlah 800,000 penjawat awam yang menerima pembiayaan pembelian rumah melalui LPPSA.

“Ramai dalam kalangan penjawat awam kini menjadi sumber sokongan kewangan buat ahli-ahli keluarga dan sanak saudara yang tiada pendapatan pada waktu PKP ini.

“Lebih-lebih lagi apabila wujudnya persepsi bahawa ‘penjawat awam menerima lebih banyak bantuan kerajaan’,” kata PH dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut melibatkan Setiausaha Agung AMANAH, Datuk Dr Hatta Ramli; Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil; DAP, Dr Ong Kian Ming.

Sementara itu, PH turut memetik laporan ‘Malaysia Economic Monitor’ oleh Bank Dunia yang menyatakan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mendapati 28 peratus rakyat bekerja terpaksa meminjam daripada ahli keluarga untuk membeli barang keperluan asas.

Malah menurutnya, dalam keadaan sekarang, sudah pasti jumlah peminjam bertambah dengan mendadak dan kebiasaannya ahli keluarga yang akan dicari pada waktu ini adalah daripada kalangan penjawat awam.

“Maka, kesan ketiadaan moratorium ini terhadap kewangan para penjawat awam tidak boleh dipandang ringan, terutama bagi kumpulan Gred 56 ke bawah.

“Majlis Setiausaha percaya langkah ini akan dapat membantu bukan sahaja penjawat awam malah juga keluarga-keluarga mereka menempuh keadaan ekonomi mencabar pada waktu ini,” tegas PH lagi.