Majlis Presiden Pakatan Harapan menggesa kesemua Ahli Parlimen pembangkang mahupun kerajaan yang menjujung titah Yang di-Pertuan Agong, untuk hadir ke Parlimen pada 19 Julai ini.
PH berkata demikian yang memberi kata dua kepada Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin agar segera memberi keputusan selewat-lewatnya pada 5 Julai ini berhubung gesaan untuk mengadakan persidangan Parlimen.
“Kami kesal sehingga hari ini Perdana Menteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tentang langkah konkrit untuk menjunjung titah Seri Paduka Baginda berhubung sidang Parlimen secepat mungkin sebelum 1 Ogos 2021.
“Majlis Presiden berpandangan Mahiaddin dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah melakukan penderhakaan terhadap bukan sahaja Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, tetapi juga terhadap Raja-Raja Melayu yang turut menzahirkan pandangan bahawa Parlimen perlu bersidang segera.
“Sekiranya Perdana Menteri dan Menteri-Menterinya masih berdegil menderhaka kepada Seri Paduka Baginda dan Raja-Raja Melayu, maka mereka bertanggungjawab mencetuskan krisis Perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan tersebut dibuat bersama antara AMANAH, Mohamed Sabu; PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; dan DAP, Lim Guan Eng.
Sementara itu PH berkata, sidang Parlimen yang perlu diadakan sebelum 1 Ogos itu mesti membahaskan krisis pandemik Covid-19 serta Proklamasi Darurat, Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara, seperti titah pandangan Yang di-Pertuan Agong.
Ini katanya, demi memastikan usaha berkesan dapat dilakukan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dan menyelesaikan masalah ekonomi dan kehidupan harian yang dihadapi rakyat.
“Rakyat sekarang sangat tertekan sehingga ada yang telah membunuh diri dan ada yang telah mengibarkan bendera putih, maka sidang Parlimen ini mesti memberi fokus isu rakyat dan bukan isu politik,” tegasnya lagi.