Malaysia Dateline

PH gesa SPR benarkan ceramah, kempen bersemuka

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya perlu memperbetul Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi membolehkan aktiviti seperti ceramah serta kempen bersemuka diadakan dengan selamat.

Dalam satu kenyataan hari ini, gabungan empat parti pembangkang itu berpendapat aktiviti ceramah serta kempen bersemuka adalah relevan memandangkan jumlah kes positif Covid-19 serta jumlah kemasukan ke hospital agak stabil serta jumlah penerima dos kedua yang mencecah 80 peratus dan dos penggalak lebih 30 peratus.

Sehubungan itu, Majlis Presiden PH menuntut agar SPR membenarkan ceramah dan aktiviti-aktiviti kempen bersemuka seperti pemberian bahan cetak dari rumah ke rumah dengan pematuhan ketat SOP.

Kenyataan bersama PH itu ditandatangani Presiden PKR merangkap Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko), Wilfred Madius Tangau.

Dalam masa sama, PH menggesa agar akses media diberi kepada semua parti secara adil dari segi ruangan masa bersiaran dan ruangan akhbar dan platform dalam talian.

Turut diminta supaya SPR menggerakkan dengan aktif untuk berada di kedutaan-kedutaan Malaysia di Singapura, United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia serta negara-negara lain untuk memastikan undi pos dapat dilaksana dengan baik.

SPR juga, kata Majlis Presiden PH, diharap dapat menetapkan tempoh kempen sekurang-kurangnya 21 hari.

“Majlis Presiden bertekad merangkul seluruh kekuatan pembangkang dan masyarakat sivil dalam usaha memenangi PRN Johor ke-15 bukan sahaja demi memenangi semula mandat rakyat yang telah diperolehi pada PRU-14 yang lalu, tetapi dengan matlamat membentuk sebuah kerajaan negeri yang lebih stabil demi masa depan Johor yang lebih baik,” katanya lagi.

Berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, PH berpendapat tindakan itu diatur khusus untuk mendesak Perdana Menteri membubarkan Parlimen dan melaksanakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada kadar segera.

“Pada ketika rakyat terutama di Johor masih terbelenggu dengan isu ekonomi, wabak Covid-19, dan banjir, PRN Johor akan amat membebankan rakyat.

“Walau bagaimanapun, Pakatan Harapan telah membuat keputusan untuk bertanding dalam PRN Johor.

“Isu-isu persiapan termasuk agihan kerusi, pelancaran jentera pilihan raya, penamaan calon Menteri Besar serta sebarang kerjasama atau persefahaman politik dengan parti-parti pembangkang yang lain akan dimuktamadkan dalam masa terdekat,” tambah Majlis Presiden PH lagi.