Malaysia Dateline

PH gesa tumpu tambah sukarelawan capai sasaran 160,000 vaksinasi sehari

Kementerian Kesihatan dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) perlu mengambil langkah proaktif untuk bersedia meningkatkan kadar proses vaksinasi apabila bekalan baharu tiba dalam beberapa bulan lagi.

Jawatankuasa Vaksinasi Covid-19 Pakatan Harapan (PH) berkata, perlu dipastikan agar bekalan sumber manusia mencukupi untuk meningkatkan kadar vaksinasi setiap hari sebanyak empat kali ganda, daripada 40,000 kepada 160,000 vaksinasi sehari seperti yang disasarkan.

Menurutnya, JKJAV perlu melantik sukarelawan bukan perubatan untuk menguruskan hal-hal pentadbiran dan logistik seperti terutamanya semasa proses vaksinasi berskala besar, dan latihan yang berpatutan mengenai prosedur operasi standard (SOP) sepanjang program vaksinasi.

“Kesemua usaha ini perlu ditumpukan sekarang supaya apabila bekalan vaksin sampai pada Jun, pelaksanaan secara menyeluruh dan komprehensif dapat dibuat tanpa sebarang gangguan untuk mempercepatkan kadar vaksinasi dalam negara.

“Lebih ramai sukarelawan bukan perubatan perlu direkrut untuk membantu meringankan beban petugas kesihatan untuk menguruskan hal seperti pendaftaran, pentadbiran, pusat khidmat talian, proses notifikasi, menguruskan pergerakan orang ramai di pusat vaksinasi, dan perkara-perkara lain lagi.

“Para sukarelawan ini perlu diberikan latihan yang berpatutan sekarang, supaya mereka dapat mendalami SOP yang berkenaan untuk mengelakkan kekeliruan di masa hadapan semasa pelaksanaan penuh program ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat bersama antara Pengerusinya, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad; bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye; Dr Kelvin Yii (Bandar Kuching); Dr Hatta Ramli (Lumut); Sim Tze Tzin (Bayan Baru); dan Dr Ong Kian Ming (Bangi)

Selain itu, turut disertai Exco Kesihatan Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud; Exco Kesihatan Pulau Pinang, Dr Norlela Ariffin dan Exco Kesihatan Negeri Sembilan, Veerapan Supramaniam.

Sementara itu, jawatankuasa tersebut juga menekankan tentang pentingnya untuk pasukan JKJAV mengrekrut lebih ramai sukarelawan untuk meningkatkan keberkesanan pusat khidmat talian Covid-19.

Pusat-pusat khidmat talian ini katanya, boleh dibahagikan kepada sektor perubatan yang mengendalikan pertanyaan berkenaan dengan hal-hal kesihatan mengenai vaksin ini dan sektor bukan kesihatan untuk menguruskan perkara seperti notifikasi dan temu janji.