Malaysia Dateline

PH harus ada mekanisme kurangkan kos sara hidup rakyat, kata Awan Perlis

Pakatan Harapan (PH) seharusnya mempunyai mekanisme bagi mengurangkan beban hidup rakyat dalam suasana yang amat mencabar tatkala ini, kata Ketua Awan Perlis, Che Mazlina Che Yob.

Beliau berkata demikan sebagai mengulas kenyataan Senator Datuk Husam Musa bahawa PH perlu mewujudkan mekanisme baharu yang lebih berkesan di negeri yang dikuasai pembangkang bagi meraih kepercayaan rakyat.

Che Mazlina Che Yob

Menurut Che Mazlina lagi, antara perkara yang perlu diberi perhatian serius ialah menangani kos sara hidup serta harga barangan yang semakin melonjak naik.

“Selain itu media juga harus berperanan dan tidak memberi ruang yang terlalu besar kepada oposisi untuk meneruskan agenda mereka.

“Disamping itu, masalah di kawasan pembangkang harus diberi perhatian secara serius untuk ditangani kerana ia melibatkan kesejahteraan rakyat.

“Manakala peruntukan dan saluran dana bagi program dan aktiviti mendekati masyarakat termasuk akar umbi, sepatutnya lebih diberi sokongan yang serius, ” jelasnya ketika meraikan masyarakat keturunan Cina di Sanglang, Perlis semalam.

Malah katanya lagi, PH sewajarnya memperkenalkan pelbagai polisi yang dilihat banyak meringankan beban rakyat.

“Reformasi yang dilakukan sewajarnya dapat dikecapi oleh pelbagai golongan masyarakat khususnya akar umbi dan golongan bawahan.

“Yang penting ialah pembelaan yang diperjuangkan dapat memberi kesan positif kepada kehidupan rakyat.

“Sekiranya ini dapat direalisasikan, sokongan kepada PH kemungkinan besar akan mampu menyahkan dokongan rakyat kepada BN pada masa hadapan, ” ujarnya lagi.