Malaysia Dateline

PH hentikan, PN buka balik pembalakan kawasan tadahan air

Ura-ura kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah hendak membuka semula konsesi balak perlu diberikan perhatian oleh semua yang sayangkan Hutan Simpan Ulu Muda kerana ia merupakan kawasan tadahan sumber air yang amat penting.

Demikian dinyatakan oleh Adun Suka Menanti, yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ir Zamri Yusuf.

YB IR ZAMRI

Jelasnya Ulu Muda membekalkan air untuk tujuan domestik dan pertanian bagi negeri Kedah dan Pulau Pinang.

Sejajar dengan itu katanya, kerajaan PH Kedah sebelum ini bukan sahaja sekadar menghentikan pembalakan, malah mewartakan keluasan tambahan agar kawasan tadahan empangan serta lembangan sungai semata-mata untuk memastikan sumber air tersebut terpelihara walaupun kehilangan sebahagian pendapatan negeri.

“Cadangan untuk meneroka semula Ulu Muda harus dihentikan demi masa depan bersama kerana sememangnya khazanah alam ini mempunyai nilai dan harga yang amat mahal serta tinggi dari sudut hasil pembalakan.

“Namun begitu sumber air dan pemuliharaan semula jadi sukar untuk dinilaikan dalam bentuk wang ringgit segera dan ianya perlu dilihat dari sudut nilai kehidupan.

“Nilai tuntutan yang didakwa mencecah RM1 bilion yang dijadikan alasan untuk membuka semula kawasan pembalakan harus diteliti dengan lebih rasional kerana nilai tuntutan sedemikian tidak wujud sama sekali,” ujarnya yang juga merupakan bekas exco kerajaan negeri Kedah.

Sebenarnya kata beliau, kerajaan PH negeri Kedah telah pun menyediakan jalan keluar kepada isu konsesi yang dikeluarkan sebelum 2018.

Tambahnya, harus juga diingatkan bahawa kadar hujan tahunan di negeri Kedah adalah lebih rendah dari purata nasional.

Sehubungan itu tegasnya, setiap potensi sumber air mesti dipulihara apabila kesan langsung dapat dibuktikan sekarang setelah hujan sejak akhir April hingga akhir Mei 2020 telah mampu untuk menampung dan meningkatkan kapasiti empangan Beris sekitar 15 peratus.

“Potensi tadahan hujan di Ulu Muda dimanfaatkan melalui sistem takungan di beberapa lokasi bertingkat seperti empangan Muda, Beris, Baraj di Jeniang Transfer dan Baraj di Pinang Tunggal.

“Oleh itu, kawasan tadahan empangan dan lembangan sungai di Ulu Muda harus dikekalkan dan diberi taraf prioriti sebagai sumber air berbanding nilai proses pembalakan tersebut.

“Maka itu proposal kerajaan PN negeri Kedah dalam usaha membuka semula konsesi pembalakan sewajarnya memberi perhitungan dan penilaian serta keutamaan terhadap kepentingan dan keperluan Ulu Muda terlebih dahulu,” saran beliau.