Malaysia Dateline

PH jangan ambil mudah PRK Dun Rantau

Pakatan Harapan (PH) tidak harus mengambil mudah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Rantau yang akan diadakan pada 9 April depan.

Demikian disarankan oleh Pengerusi Persatuan Demi Rakyat Pulau Pinang, M.Navalingam.

Jelasnya lagi, kekalahan pada dua PRK baru-baru ini harus dijadikan sempadan bagi meraih kembali sokongan pengundi kepada PH.

“Semua jentera PH termasuk komponen parti harus mengambil iktibar diatas kekalahan dua PRK yang lalu.

“Isu perkauman yang dimainkan oleh pembangkang mesti disekat dan ditepis pada peringkat awal lagi.

“Sekiranya terdapat unsur-unsur tersebut dimainkan oposisi, maka PH mesti pantas dan segera menyangkal dakyah yang dilemparkan.

“Kita tidak harus mengambil tempoh yang lama bagi menjelaskan sebarang isu yang timbul semasa kempen PRK Rantau kali ini, ” tegas beliau.

Malah kata Navalingam lagi, walaupun pengundi keturunan India hanya 27 peratus dalam Dun Rantau, ia tidak menjadi masalah kepada PH.

“Konsep keadilan yang diamalkan oleh PH mampu untuk mengekang isu kaum dan agama yang sering dimainkan oleh pembangkang.

“Yang pasti dalam tempoh sedia ada, semua jentera pilihan raya mesti diakses semaksima mungkin.

“Setiap serangan tidak boleh lagi dibiarkan berterusan dan harus segera dijelaskan kepada pengundi yang mungkin tidak mendapat fakta sebenar, ” ujarnya lagi.

Sehubungan itu tambahnya, kemenangan mungkin mampu diraih oleh PH dalam PRK kali ini.

Namun begitu katanya, komitmen bersungguh-sungguh dari semua komponen PH mesti dilaksanakan dengan serius walaupun akan berhadapan dengan calon BN yang juga merupakan Pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hassan.