Malaysia Dateline

PH jangan rasa selesa menang di Sandakan, kata Anwar

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Vivian Wong Shir Yee kerana diberi mandat oleh rakyat Sandakan sebagai Ahli Parlimen baharu kawasan itu.

Namun kata beliau, biarpun kemenangan Pakatan Harapan (PH) di PRK Sandakan jelas menunjukkan rakyat masih memberi sokongan padu kepada PH, PH tidak seharusnya berasa selesa.

Kata beliau, pimpinan PH tidak boleh merasa selesa dengan kemenangan ini sebaliknya perlu terus bekerja keras bagi memastikan taraf ekonomi rakyat terus terbela di setiap peringkat.

Selain itu tambahnya, pimpinan juga dinasihatkan untuk menggerakkan segala usaha membantu Perdana Menteri dalam merealisasikan tujuh teras strategik bagi mencapai matlamat Kemakmuran Bersama yang diumumkan sewaktu Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu.

“Sekali lagi tahniah diucapkan kepada saudari Vivian diatas kemenangan ini dan saya yakin beliau mampu menggalas tanggungjawab ini dengan baik seperti mana yang dilakukan mendiang bapanya,” kata Anwar dalam satu kenyataan semalam.

Vivian Wong, 30, anak kepada penyandang kerusi parlimen itu mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt, menang dengan majoriti 11,521 undi menewaskan empat pencabarnya iaitu calon Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Linda Tsen Thau Lin, 63, serta tiga calon bebas iaitu Hamzah Abdullah, 65, Chia Siew Yung, 46, dan Sulaiman Samat, 36.