PH janji bangkit bersama bina kembali negeri Kedah

Pimpinan PH Kedah semasa pelancaran Manifesto HARAPAN Negeri Kedah.

Pakatan Harapan (PH) Negeri Kedah berjanji untuk memakmurkan Negeri Kedah sepertimana yang termaktub dalam ‘Manifesto Harapan Negeri Kedah’.

Pengerusi Jawatankuasa Manifesto tersebut, Datuk Johari Abdul ketika pelancarannya pada Sabtu yang lalu berkata, terdapat 10 terus utama PH Negeri Kedah yang akan diberi keutamaan bagi membina semula negeri Kedah.

Sepuluh teras tersebut katanya adalah bagi melengkapkan kemudahan asas dan perumahan rakyat serta juga mengutamakan kebajikan dan kesihatan rakyat.

Teras yang lain ialah untuk memperkukuhkan nilai keagamaan dan melonjakkan mutu pendidikan serta modal insan.

Beliau juga berkata, memperkasakan wanita, memperkasakan belia, sukan dan NGO serta memperhebatkan pembangunan pertanian dan perikanan adalah sebahagian lagi dari manifesto yang dijanjikan.

Tambahnya, teras yang lain adalah untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi, mereformasikan pengurusan dan urus tadbir negeri.

Yang terakhir katanya ialah bagi melestarikan alam sekitar.

HARAPAN bersama makmurkan negeri Kedah.

“Sebelum ini kita dapat lihat bagaimana rakyat negeri Kedah telah begitu lama menderita apabila masalah kemudahan asas seperti masalah air terawat belum lagi selesai sehingga kini.

“Seandainya mendapat mandat kali in, PH akan memastikan Syarikat Air Darul Aman menjadi operator tunggal pengurusan operasi bekalan air di seluruh negeri Kedah.

“Di samping itu polisi satu keluarga satu rumah akan direalisasikan bagi membantu golongan muda mendapatkan kediaman tersebut termasuklah dengan kerjasama pihak swasta bagi mempermudahkan pembinaan dan pemilikan rumah,” ujarnya.

Menurut Johari lagi, kebajikan serta kesihatan rakyat akan turut menjadi keutamaan sekiranya dapat menerajui kepimpinan negeri Kedah tidak lama lagi.

Katanya, tempat riadah dan rekreasi akan diperbanyakkan supaya kegiatan sedemikian dapat menyumbang kepada kesihatan minda maupun tubuh badan.

“Usaha bagi meningkatkan lagi mutu pendidikan dan juga modal insan akan dilaksanakan bagi memastikan setiap rakyat tidak tercicir.

10 Teras utama Harapan Negeri Kedah.

“Ekonomi negeri Kedah akan dirancakkan lagi melalui pemodenan pertanian, perindustrian, mengoptimumkan bidang pelancongan serta industri kecil dan sederhana.

“Ini termasuklah mendapat kerjasama semua ejensi pertanian bagi membimbing dan melatih petani untuk ditingkatkan hasil pertanian mereka, ” jelasnya lagi.

Selain dari itu katanya, kemudahan dan ruang seluasnya akan turut diberikan bagi meningkatkan peranan golongan wanita dalam pentadbiran negeri.

“Imbuhan tahunan kepada ibu tunggal yang mempunyai anak supaya mereka dapat membina keluarga dan melahirkan generasi yang mampu membangunkan negeri ini dan juga negara.

“Akan memastikan kelestarian alam sekitar terpelihara dengan sebaik mungkin disamping mewujudkan ‘one stop centre’ untuk setiap daerah bagi memberi khidmat kaunseling keibubapaan, rumah tangga, nasihat agama yang melibatkan wanita serta masalah perundangan.

“Industri herba akan diperluaskan sehingga dapat membuka ladang herba di beberapa kawasan seperti Sik, Padang Terap, Pendang, Baling dan Langkawi, ” tegasnya.

PH Negeri Kedah turut bertekad bagi memenuhi janji yang tersenarai dalam masa 100 hari terhadap beberapa masalah yang belum selesai seperti gangguan bekalan air, menyediakan sumbangan khairat kematian dan menilai semula penglibatan ahli politik dalam Persatuan Bola Sepak Kedah.

Menubuhkan tabung penyakit kronik, pusat dialisis serta tabung khas wanita juga merupakan agenda yang akan direalisasikan.

Mewujudkan ‘Youth Town’, merangka satu keluarga satu rumah, menggalakkan pertanian domestik, memperkenalkan mahkamah syariah bergerak dan menubuhkan ‘task force’ bagi menyelesaikan masalah tanah adalah antara beberapa lagi perjuangan yang akan diperjuangkan sekiranya PH berjaya menerajui Kedah pada PRU14 akan datang.

Hadir sama dalam majlis pelancaran tersebut ialah Pengerusi PH negeri Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Pengerusi PKR Negeri Kedah, Dr Azman Ismail, Pengerusi AMANAH Negeri Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh dan Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew.

CATEGORIES