PH Johor junjung titah Sultan bincang tangani Covid-19

Oleh Oleh AMNI JAGAT

Pakatan Harapan (PH) Johor memaklumkan bahawa mereka bersedia untuk berbincang mengenai permasalahan yang berlaku berkenaan peningkatan kes baharu Covid-19 di negeri tersebut.

Menerusi kenyataan bersama, PH negeri berkata akan memberikan komitmen bagi memenuhi titah Sultan Johor demi menyelamatkan negeri daripada wabak yang mengancam nyawa itu.

Sehubungan itu, PH Johor bersedia pada setiap masa untuk menanti panggilan perbincangan tersebut yang memang selama ini telah dicadangkan berulang kali kepada kerajaan negeri.

“Sekali lagi kami PH Johor, menjunjung kasih atas keprihatinan DYMM Sultan Johor berhubung dengan permasalahan pandemik Covid 19 yang sedang melanda di negeri ini,” katanya.

Kenyataan bersama itu melibatkan Pengerusi PH Johor dan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.

Terdahulu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menitahkan agar semua Adun dan Ahli Parlimen di negeri itu berbincang berkenaan dengan kes ketara Covid-19.

Dalam titah tersebut, Baginda menyatakan pihak pentadbiran kerajaan, semua Ahli Parlimen dan Adun di negeri Johor perlu memainkan peranan dalam memastikan penularan wabak Covid-19 segera dibendung dan membantu mereka yang terkesan.

Baginda juga sedar akan Ordinan Darurat yang sedang berkuat kuasa menghalang persidangan Parlimen dan Dun untuk dijalankan ketika ini.

“Oleh yang demikian saya menyeru agar satu perbincangan secara pemesyuaratan diadakan di kalangan semua Ahli Parlimen dan Adun di negeri Johor dengan dipengerusikan oleh Menteri Besar (MB) Johor.

“Melalui perbincangan ini, semua Ahli Parlimen dan Adun boleh memberikan buah fikiran dan pandangan masing-masing dalam membendung penularan wabak Covid 19 dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh Bangsa Johor,” titah Tuanku Sultan Johor.