Malaysia Dateline

PH Johor kemuka lima isu perlu dibahas dalam mesyuarat minggu depan

Pakatan Harapan Johor menyenaraikan lima tuntutan mendesak yang perlu dibincangkan dalam mesyuarat bersama Ahli-ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Johor.

Antaranya PH berkata, kerajaan Johor perlu melakukan ujian saringan secara besar-besaran bagi mengatasi penularan wabak yang serius dalam komuniti.

Menurutnya, kerajaan negeri boleh menggerakkan hospital-hospital di bawah KPJ Healthcare yang dimiliki oleh Johor Corporation Bhd (JCorp) bagi mempergiat pemeriksaan Covid-19 supaya dapat menjejak jangkitan terutamanya antara mereka yang tidak menunjukkan sebarang simptom.

“Selain itu, mesyuarat dwipartisan Ahli Parlimen dan Adun Johor perlu membahaskan perancangan untuk memperluaskan kempen kesedaran vaksinisasi kepada warga Johor demi mencapai angka pendaftaran sekurang-kurangnya 70 peratus daripada keseluruhan mereka yang layak.

“Ini kerana, pendaftaran vaksinasi di Johor melalui aplikasi MySejahtera masih lagi rendah, iaitu sekitar 1.24 juta orang bersamaan 43.83 peratus berbanding 2.9 juta orang yang layak menerima vaksin.

“Malah, jumlah rakyat Negeri Johor yang telah menerima vaksinasi juga kekal rendah pada kadar 4.38 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dibuat bersama antara Ketua Pembangkang Dun Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi PKR, Syed Ibrahim Syed Noh; dan Pengerusi DAP negeri, Liew Chin Tong

Tuntutan ketiga, PH mendesak kerajaan negeri agar meneliti bantuan tambahan kepada rakyat Johor, terutama bantuan ekonomi kepada golongan berpendapatan rendah, Peniaga Kecil Sederhana (PKS), anak muda dan pekerja yang terkesan bahkan hilang pendapatan akibat PKP.

Menurutnya, pakej rangsangan ekonomi tambahan perlu dibahaskan bagi membantu mereka yang terkesan ketika darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Selain itu, PH juga mendesak agar kerajaan Johor menyegerakan perancangan pembukaan sempadan Malaysia – Singapura selepas keadaan lebih stabil untuk memulihkan ekonomi negeri itu.

“Akhir sekali, dicadangkan agar mesyuarat ahli Parlimen dan Adun Johor membahaskan usul agar kerajaan negeri boleh mengambil langkah mendesak kerajaan Persekutuan untuk segera menamatkan darurat agar institusi demokrasi negara, Parlimen dan Dun dapat bersidang,” katanya lagi.