Malaysia Dateline

PH Johor lantik Aminolhuda sebagai Ketua Pembangkang

Pakatan Harapan (PH) negeri Johor semalam melantik Adun Parit Yaani, Aminolhuda Hassan sebagai Ketua Pembangkang yang baharu selepas PH kehilangan mandat di negeri itu.

Menurut kenyataan media PH Johor yang dikeluarkan semalam menyatakan bahawa persetujuan telah dibuat dengan melantik Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor itu sebagai calon Ketua Pembangkang dan perkara itu pun telah disahkan oleh PH dengan permakluman kepada Speaker dan Setiausaha Dewan Negeri Johor.

Dalam pada itu PH Johor juga menyatakan bahawa fokus gagasan itu ketika ini hanyalah kebajikan kepada rakyat akibat dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan pada 18 Mac 2020 yang lalu.

“Pada saat genting seperti kini, kebajikan rakyat merupakan keutamaan PH. Kami sedia menghulurkan bantuan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

“Kami faham bahawa PKP telah membawa kebimbangan dan kesulitan kepada rakyat terutamanya golongan yang kurang berkemampuan. Sepanjang tempoh PKP ini, ahli majlis, ketua kampung, ketua masyarakat. MPKK dan pemimpin komuniti tempatan PH memberi perkhidmatan kepada masyarakat setempat tanpa mengenal penat lelah.

“Walaupun tempoh perkhidmatan mereka dalam jawatan-jawatan tersebut tamat pada 31 Mac 2020 (semalam), mereka tetap bertungkus lumus menunaikan kewajipan terhadap seluruh warg masyarakat,” jelas kenyataan media tersebut.

Sehubungan itu PH Johor turut berjanji akan membantu semua rakyat yang memerlukan sewaktu PKP ini dilaksanakan.

PH juga akan menggerakkan seluruh kekuatan jentera akar umbi bagi membantu rakyat dan berpegang teguh kepada prinsip mereka.

Dalam pada masa yang sama, PH juga mengingatkan agar kerajaan negeri Johor bahawa mereka akan terus memantau, semak dan imbang jentera pentadbiran kerajaan.

“Selaras dengan hasrat ini, Majlis Pengerusi PH Johor mengesahkan bahawa semua ahli majlis, ketua kampung dan ketua masyarakat PH akan menamatkan perkhidmatan setelah tempoh lantikan mereka tamat pada 31 Mac 2020.

“Majlis Pengerusi PH Johor juga menolak pelantikkan persendirian ahli-ahli PH ke jawatan-jawatan kerajaan negeri Perikatan Nasional (PN).

“Sekiranya kerajaan Johor ingin berkerjasama PH dalam usaha melawan Covid 19, mereka perlu mengadakan perbincangan dengan pimpinan PH di peringkat negeri dan pusat, bukannya menerusi cara ‘pecah dan tawan’.

“Kami menyeru agar semua anggota parti melibatkan diri dalam usaha membantu rakyat tetapi tetap berpegang pada prinsip kami dan memainkan peranan sebagai pembangkang yang berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan,” jelas mereka lagi.