Malaysia Dateline

PH Johor tawar kerjasama kembalikan peranan sidang Dun, tangani Covid-19

Pakatan Harapan Johor menyatakan komitmennya untuk terus menawarkan kerjasama terbaik dalam usaha melawan Covid-19 serta mengembalikan segera peranan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) demi kebaikan rakyat.

PH Johor berkata, pakatan itu menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas sesi perbincangan khas Raja-raja Melayu di Istana Negara petang semalam.

Pada masa sama katanya, PH Johor turut merafak sembah ke bawah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail ibni Almarhum Sultan Iskandar yang telah memulakan inisiatif pada awal Mei lalu menitahkan agar satu mesyuarat melibatkan semua Adun dan Ahli Parlimen Johor rentas parti diadakan segera.

“Johor menjadi suri tauladan apabila mesyuarat tersebut direalisasikan pada 27 Mei 2021 secara atas talian dan dipengerusikan oleh Datuk Menteri Besar Johor.

“Menyedari Dewan Undangan Negeri sebagai platform terbaik untuk berbincang, berbahas serta mengusulkan dasar penting buat negeri ini, PH Johor menyatakan komitmen untuk terus berbincang dan memberikan cadangan kepada Menteri Besar berhubung usaha-usaha yang boleh diambil kearah membuka semula persidangan Dun Johor.

“PH Johor menginsafi titah Raja-raja Melayu. Setiap perbezaan tidak seharusnya mengalih fokus kita pada masa pandemik ini. Semua pihak perlu dilibatkan tanpa mengira fahaman politik bagi menggembeleng usaha, mengurus serta melawan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dibuat bersama Pengerusi Pakatan Harapan Johor, Aminolhuda Hassan; PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh; DAP, Liew Chin Tong.

Sementara itu PH berkata, seperti mana ‘cara Johor’, pihak kerajaan dan pembangkang adalah rakan strategik dan bukannya seteru politik seperti dinyatakan oleh Menteri Besar dan Ketua Pembangkang di negeri itu.